SELAYANG: Pempengaruh media sosial, Muhamad Iqbal Muhamad Nor atau CEO Batu didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya, Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 22 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menyimpan video dan gambar lucah dalam simpanan galeri telefon bimbitnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, pada jam 11.39 pagi, 22 Mei lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar memohon jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tawaran itu dibantah peguam Nabil Ashraff Ridzuan yang mewakili Muhamad Iqbal yang memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya hilang punca pendapatan sebagai pencipta kandungan sejak kesnya berjalan.
“Sebelum ini anak guam mempunyai pendapatan sekitar RM3,000, bagaimanapun punca rezekinya hilang sejak kes ini, banyak kontrak ditamatkan.
“Anak guam tinggal bersama keluarga termasuk datuk dan nenek serta empat beradik yang salah seorangnya menghidap masalah pernafasan.
“Bapa tertuduh bekerja di sebuah kilang, tertuduh sendiri mempunyai masalah saraf akibat kemalangan, mohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dengan mengambil kira faktor-faktor ini,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Chai membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes.
Semalam, Muhammad Iqbal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat remaja perempuan berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan sebuah unit kediaman di Batu Caves, Gombak jam 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Sebelum ini, media melaporkan CEO Batu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur.
CEO Batu juga dilaporkan dihentam teruk selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej didakwa berbaur lucah dihantarnya kepada remaja berkenaan.
Menerusi beberapa hantaran Caprice di ‘feed’ dan Instagram Story, dia dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuannya selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual pempengaruh itu.





