Belasah Anak Bermalam Di Rumah Ibu Saudara, Lelaki Didakwa Memiliki Parang

0
560
Foto: Utusan

KUALA KANGSAR, 6 November- Seorang lelaki yang ditahan kerana menumbuk dan menendang anak kandungnya yang berusia 12 tahun kerana bermalam di rumah ibu saudaranya minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang.

Tertuduh Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Menurut kertas pertuduhan, Mohamad Zairi didakwa memiliki parang berhulu plastik berwarna merah tanpa sebarang maksud yang sah di tepi jalan Kampung Perah, Gerik, kira-kira 3.45 petang, 30 Oktober 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak merayu untuk diberi jaminan dan memaklumkan tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjamin dirinya.

Hakim Rohaida Ishak kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 6 Disember ini dan tiada jaminan dibenarkan.

Pada 30 Oktober lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera akibat ditumbuk dan ditendang bapa kandungnya semasa berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Perah, pada petang 29 Oktober.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood memaklumkan, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berusia 37 tahun itu datang ke rumah pengadu yang merupakan wanita warga Thailand berusia 35 tahun, pada pukul 5 petang.

Beliau berkata suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang belakang badan kanak-kanak itu, serta melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir mengenai mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here