Suami kepada Jaslinda Saludin, pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu iaitu Haszman Othman kesal dengan beberapa dakwaan tidak betul mengenai kehilangan isterinya itu.
Memetik Harian Metro, Haszman memaklumkan bahawa dia dan keluarga akan mengambil tindakan undang-undang kepada beberapa pengguna media sosial yang dilihat keterlaluan hingga memfitnah isterinya susulan kehilangan itu.
“Ada yang mengaitkan dengan ahlong… Ada juga yang bergurau melampau hingga memfitnah kononnya Tok Batin, Orang Asli simpan isteri saya selama seminggu.
“Ia gurauan melampau yang tak jaga perasaan saya selaku suami, maka saya kena bagi pengajaran agar perkataan macam itu memakan diri walaupun dia macam gelak-gelak bergurau hendak tarik ‘view’ (tontonan).
“Umpama maruah saya dia permainkan sebab kononnya (Jaslinda) disorok selama seminggu. Saya difahamkan komuniti Orang Asli pun sudah membuat laporan terhadap akaun media sosial itu sebab secara tidak langsung sudah memperkecilkan masyarakat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Haszman meluahkan rasa kagum terhadap Jaslina yang begitu kuat dan tabah sepanjang tempoh kehilangannya itu.
Sepanjang 14 hari tempoh kehilangannya, Jaslinda terus kuat bersumberkan penjagaan hubungan dengan Allah SWT dengan solat lima waktu sentiasa dijaga isterinya itu.
“Memang dia tak tinggal (solat)… saya tahu dia orang macam mana. Bayangkan bila sudah berseorangan dalam hutan, tiada orang lain jadi pada masa itu antara dia dengan Allah SWT sahaja,” katanya lagi.
Sebelum ini, kisah kehilangan Jaslinda menjadi perhatian seluruh negara selepas wanita berusia 49 tahun itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman.
Jaslinda akhirnya ditemukan selamat oleh komuniti Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh selepas hampir dua minggu operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Sejak penemuannya, pelbagai spekulasi muncul di media sosial mengenai punca kehilangan dan bagaimana Jaslinda berjaya bertahan selama 14 hari di dalam hutan.
Bagaimanapun, keluarga berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri dan menunggu penjelasan rasmi daripada Jaslinda apabila keadaan kesihatannya benar-benar mengizinkan.
Sumber: Harian Metro





