SEPANG – AirAsia menawarkan diskaun sehingga 27 peratus bagi tambang asas semua tempat duduk dan penerbangan sempena kejayaannya meraih gelaran Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-17 berturut-turut.
Menurut AirAsia, promosi itu boleh ditempah sehingga 27 September 2026 bagi perjalanan dari sekarang hingga 31 Ogos 2027 melalui aplikasi AirAsia MOVE.
Penumpang turut ditawarkan pengecualian yuran perubahan penerbangan sebanyak sekali. Bagaimanapun, perbezaan tambang mungkin dikenakan jika mereka menukar rancangan perjalanan.
Selain itu, AirAsia menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi Value Pack, yang merangkumi keperluan perjalanan seperti bagasi daftar masuk, hidangan dan pilihan tempat duduk.
Diskaun 27 peratus tersebut hanya dikenakan pada tambang asas perjalanan sehala. Caj perkhidmatan penumpang, surcaj bahan api dan caj lain yang berkaitan tidak termasuk dalam promosi berkenaan.





