PETALING JAYA – Enggan sejarah lama berulang, penyanyi Shila Amzah pernah berdepan tekanan selepas berat badannya meningkat sehingga pernah mencecah 84 kilogram (kg).
Menurut Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 36, masalah berat badan berlebihan tersebut turut memberi kesan fizikal terhadap kesihatannya yang membataskan pergerakan harian.
“Saya berasa sangat tertekan apabila berat badan saya mencecah 84 kilogram (kg) dengan ketinggian 165 sentimeter.
“Lutut sakit, buku lali pun sakit. Dulu saya memandang rendah soal kesihatan.
“Zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang waktu yang paling teruk,” katanya dalam Threads.
Tambah pelantun lagu Patah Seribu itu, tekanan emosi serta masalah kurang tidur dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan berat badannya sebelum ini.
Malah, dia kini lebih berhati-hati dan menjaga pemakanan harian agar tidak lagi berdepan situasi sama.
“Saya jenis yang berat badan turun naik (yo-yo) tetapi saya tidak pernah berhenti bersenam. Tapi stres dan tidur tak cukup pun punca.
“Disebabkan semua itu, saya kini lebih peka terhadap apa yang saya ambil dalam badan.
“Saya tidak mahu lagi kembali ke berat badan dengan ketinggian itu. Doakan saya terus istiqamah ya semua,” ujarnya.
Sebelum ini, Shila berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12kg hanya dengan mengamalkan gaya hidup sihat tanpa menjalani sebarang pembedahan.
Faktor utama dia menurunkan berat badan adalah bagi memastikan stamina dan vokalnya berada pada tahap terbaik sepanjang persembahan pada Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama Ogos lalu.
Suaminya yang juga pempengaruh, Ubai Mz yang kini aktif berbasikal turut menjadi pendorong untuk dia menjalani gaya hidup lebih sihat.
Sumber – KOSMO! ONLINE





