Tuesday, January 13, 2026
HomeBERITAAgong Titah Graduan Perlu Jadi Pembina Tamadun Unggul

Agong Titah Graduan Perlu Jadi Pembina Tamadun Unggul

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan
graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) agar meletakkan diri mereka sebagai pembina tamadun yang unggul dengan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk kemajuan ummah dan mengalas tanggungjawab sebagai pemimpin muda negara.

Sultan Ibrahim bertitah, graduan tidak boleh leka dalam mengharungi arus kemodenan dan terjebak dalam perkara yang tidak sihat.

Justeru, baginda menyeru graduan menggunakan ilmu secara berkesan dan mengembalikannya kepada masyarakat dan negara, bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri.

“Yang lebih penting ialah cara ilmu tersebut digunakan untuk kebaikan semua. Sejarah tamadun Islam membuktikan ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di ibu negara.

Turut hadir, Pro Canselor UPNM, Tan Sri Dr Mohd Anwar Mohd Nor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

UPNM meraikan 1,011 graduan pada tahun ini merangkumi ijazah sarjana muda, diploma, sarjana dan doktor falsafah dengan tema ‘Graduan Berwawasan, Pewaris Kedaulatan’.

Sebagai satu-satunya universiti pertahanan negara, UPNM memainkan peranan strategik dalam membangunkan modal insan pertahanan, keselamatan dan kepimpinan nasional.

Model pendidikan tersebut menggabungkan akademik, latihan ketenteraan dan penyelidikan menjadikan graduannya aset kritikal kepada kesiapsiagaan pertahanan moden.

Mengulas peranan graduan dalam kerangka pertahanan negara, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad berkata, graduan pada hari ini bukan sahaja menjadi tonggak kepada keupayaan minda pertahanan negara, malah merupakan penentu masa depan Malaysia yang berdaulat.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan komitmen UPNM melahirkan modal insan strategik yang mampu memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara.

Titah baginda lagi, kejayaan akademik yang diraikan bukan sekadar menandakan tamat pengajian, tetapi permulaan perjalanan untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

“Kekuatan sebuah negara terletak kepada graduan muda pada hari ini. Kuat atau lemah graduan pada hari ini adalah tanda kepada kejayaan atau kegagalan negara pada masa hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah, graduan merupakan aset strategik negara dan diharapkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah memiliki integriti dan dedikasi tinggi untuk berkhidmat kepada negara.

“Gunakan ilmu dengan sebaik-baiknya dan jadilah seorang pemimpin muda yang berguna kepada negara. Jangan sekali-kali mengecewakan harapan ibu bapa dan melakukan perkara yang boleh meruntuhkan jati diri negara,” titah baginda.

Dalam pada itu, Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM turut menyaksikan detik bersejarah apabila seorang pegawai tentera meraih anugerah akademik
tertinggi bagi peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

Penerima anugerah, Kapten Ts Dr. Thachnatharen Nagarajan, 30, yang juga saintis ketenteraan menyifatkan perjalanan akademiknya sejak 2013 sebagai sesuatu yang “luar biasa” kerana perlu melalui latihan ketenteraan penuh disiplin serentak dengan pengajian.

Menurut beliau, latihan dan disiplin ketenteraan yang diterapkan UPNM menjadi tunjang kejayaannya menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Beliau berkata, penyelidikan itu termasuk inovasi minyak enjin kereta kebal berasaskan nanoteknologi, yang kini telah dipatenkan dan menunggu proses aplikasi dalam penggunaan sebenar pertahanan negara.

“Penyelidikan itu bukan sahaja mengurangkan geseran serta haba enjin, malah mampu menjimatkan kos penyelenggaraan kerana minyak enjin tidak perlu ditukar sekerap biasa,” katanya.

Thachnatharen yang kini bertugas sebagai pegawai di Rejimen 508, Kem Rasa, Seremban, dengan kepakaran dalam penyelidikan ketenteraan berkata, beliau telah menghasilkan lebih 25 jurnal berindeks dan beberapa paten dalam bidang nanoteknologi.

“UPNM bukan universiti biasa. Kami mendapat dua ilmu serentak akademik dan ketenteraan yang membentuk kami menjadi graduan paling sempurna dari segi disiplin, kepimpinan dan cara membawa diri,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan graduan muda, Pegawai Kadet Leong Jing En, 23, turut mencuri perhatian apabila beliau menerima Anugerah Pingat Emas Canselor bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian.

Beliau yang memulakan pengajian pada 2021 berkata, pengalaman sebagai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) banyak membentuk disiplin dan kepimpinan dalam dirinya.

Leong berkata, minat mendalam terhadap bidang ketenteraan mendorongnya membuat permohonan melalui UPU sebelum terpilih sebagai pegawai kadet.
Beliau juga mahu menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda, khususnya kaum Cina, untuk menyertai tentera.

“Nak berkhidmat kepada negara tidak kira kaum. Saya rakyat Malaysia dan saya mahu memberi bakti,” tegasnya.

Beliau mengakui keluarganya pada awalnya kurang bersetuju kerana bimbang dengan cabaran kerjaya ketenteraan, namun kejayaannya sepanjang empat tahun membuktikan bahawa profesion beruniform bukan kerjaya rendah nilai seperti disangka sesetengah pihak.

“Nasihat saya kepada anak muda ialah fikir apa yang kita boleh kembalikan kepada negara. Jika hati betul, niat betul, sesiapa pun boleh berjaya dalam tentera,” katanya.

UPNM terus komited memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi utama yang menyokong kesiapsiagaan pertahanan negara selaras aspirasi UPNM30 yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, teknologi pertahanan, pembangunan modal insan dan penyelidikan strategik menjelang 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Keluarkan Barang Bukan Membabi Buta, Itu Nasihat Daripada Peguam’

0
SHAH ALAM – Penyanyi sensasi Nubhan mengakui memiliki alasan yang kukuh mengapa dirinya bertindak mengeluarkan barang-barang milik bekas isterinya, Dr Afifah dari kediamannya baru-baru...

CATEGORIES