Friday, October 16, 2026
HomeBERITA1,204 PMKS Terima Manfaat Daripada Program Sokongan Industri Dan Perniagaan SINAR

1,204 PMKS Terima Manfaat Daripada Program Sokongan Industri Dan Perniagaan SINAR

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,204 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima manfaat daripada program Sokongan Industri dan Perniagaan (SINAR) yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia setakat 30 September lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata program SINAR adalah satu daripada usaha SME Corp Malaysia dalam membantu PMKS yang terkesan akibat krisis global, khususnya berikutan gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos dan bahan api yang memberi kesan kepada operasi perniagaan.

“Program itu menyediakan akses kepada pembiayaan dan sokongan perniagaan tambahan bagi membantu PMKS,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai status pelaksanaan program SINAR serta mekanisme oleh kementerian bagi memastikan PMKS menerima manfaat daripada program tersebut.

Mohamad berkata sebanyak 971 PMKS mendapat manfaat daripada diskaun 50 peratus bagi permohonan Sijil Status PMKS yang ditawarkan sehingga Ogos lalu.

“Diskaun itu yang akan diteruskan bermula esok sehingga 31 Disember 2026 bertujuan untuk memudahkan lebih banyak PMKS mendapatkan pengesahan status dan mengakses bantuan keusahawanan,” katanya.

Pada sesi itu, Mohamad berkata, Belanjawan 2027 menyediakan sokongan berjumlah RM67.9 bilion bagi pembangunan PMKS melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan, peluasan akses pasaran, pembangunan modal insan serta pendigitalan dan automasi.

“Belanjawan 2027 memperuntukkan RM137 juta bagi pelaksanaan program pembangunan PMKS pada tahun 2027, meningkat 17 peratus berbanding RM117 juta pada 2026.

“Peruntukan ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan PMKS dalam industri berimpak tinggi, penerapan amalan ESG, pengantarabangsaan serta peluasan penyertaan dalam pasaran modal dan rantaian bekalan melalui bantuan kewangan dan pembangunan kapasiti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Iskandar mengenai penggunaan peruntukan berkenaan, Mohamad berkata RM50 juta diperuntukkan bagi Dana Pemangkin Penskalaan, merangkumi RM35 juta dalam bentuk pinjaman dan RM15 juta dalam bentuk pelaburan.

Katanya, inisiatif lain termasuk program PKS Lestari, Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE), program kesediaan PMKS untuk penyenaraian di Bursa Malaysia, PKS Akses, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta program Penskalaan Mikro (GrowBiz).

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kes Pegawai AKPS Dibunuh Suami, Warga Agensi Ucap Takziah

0
SEREMBAN - Pimpinan dan warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengucapkan takziah kepada keluarga seorang pegawai wanita agensi itu yang maut dipercayai dibunuh...

CATEGORIES