Thursday, October 15, 2026
HomeHIBURANSaya Tetap Berdoa Dapat Jodoh Terbaik , Mampu Membimbing

Saya Tetap Berdoa Dapat Jodoh Terbaik , Mampu Membimbing

GOMBAK – Dua kali melalui kegagalan rumah tangga tidak pernah memadamkan impian pelakon dan usahawan Nora Danish, 44, untuk kembali mengecap kebahagiaan bersama pasangan hidup. Malah, doa untuk dipertemukan dengan lelaki beriman yang mampu membimbingnya terus menjadi sandaran.

Bagaimanapun, berbeza dengan fasa kehidupannya sebelum ini yang lebih bersungguh-sungguh mencari teman hidup, Nora kini memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki diri, selain menyerahkan urusan jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.

Mengakui impian untuk kembali berumah tangga masih ada, Nora berkata, dia percaya setiap wanita mendambakan suami beriman yang mampu menjadi pembimbing dalam kehidupan.

“Sebenarnya, idaman setiap wanita adalah untuk mendapatkan suami yang beriman. Kalau dapat, Alhamdulillah.

“Cuma, kadang-kadang apa yang saya kongsikan di Threads atau media sosial adalah untuk mendekatkan diri dengan peminat dan pengikut. Itu sahaja, supaya ada interaksi dua hala.

“Tetapi dari segi peribadi, saya lebih fokus kepada diri sendiri sekarang, terutama dalam fasa kehidupan saya ketika ini. Kalau dahulu, memang saya mencari kerana saya rasa perlukan teman,” katanya.

Nora ditemui ketika penggambaran drama TV3, Perempuan Sesudah Lafaz, di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), di sini, hari ini.

Biarpun perjalanan cintanya tidak selalu berakhir seperti yang diimpikan, Nora tidak menafikan kebahagiaan pasangan selebriti seperti Neelofa dan PU Riz serta Bella Astillah dan Syed Saddiq menjadi inspirasi buat dirinya.

Bagaimanapun, pelakon itu sedar perjalanan setiap individu dalam mencari pasangan hidup berbeza dan tidak semestinya berakhir dengan kisah yang serupa.

“Apabila pergi ke acara Neelofa dan melihat dia bersama suami, atau melihat pasangan seperti Bella Astillah dan Syed Saddiq, kita boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi.

“Tetapi untuk mendapatkan hubungan seperti yang mereka miliki, mungkin kita akan dapat, mungkin juga tidak. Kita hanya mampu berdoa untuk yang terbaik.

“Gagal dalam perkahwinan itu perkara biasa. Itu ujian kehidupan. Kalau kali ketiga saya berkahwin, mungkin saya gagal lagi, mungkin juga tidak.

“Semua itu lumrah kehidupan. Hendak mendapatkan pasangan yang sempurna memang sukar,” katanya.

Mengulas sama ada masih terbuka untuk kembali menjalin hubungan cinta, Nora menegaskan, pintu hatinya tidak pernah tertutup untuk menerima kehadiran insan baharu.

Malah, pelakon itu mengakui dirinya seorang yang hopeless romantic dan percaya cinta tetap menjadi sebahagian penting dalam kehidupannya, biarpun kini lebih selesa mengutamakan diri sendiri.

“Tidak pernah (tutup pintu hati). Saya seorang yang hopeless romantic. Bagi saya, percintaan itu perlu. Malah, pemilihan filem saya pun kebanyakannya berkisarkan kisah romantik.

“Jadi, Nora memang memerlukan cinta dalam kehidupan. Saya tidak pernah menutup hati dan sentiasa berdoa supaya Allah memberikan jodoh yang terbaik untuk saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nora membintangi drama Perempuan Sesudah Lafaz arahan Nizam Zakaria yang bakal disiarkan TV3 tidak lama lagi.

Drama itu turut menampilkan Yusuf Bahrin, Riena Diana, Puteri Aishah, Syazwan Zulkifli dan Muhsin Nadzli.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Orang Tak Nampak Kemurungan Saya – Azza Elite

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Azza Elite mengakui adakalanya dirinya mengalami tekanan hidup dan kemurungan gara-gara kehidupan yang mencabar. Katanya, namun perkara itu dilepaskan apabila...

CATEGORIES