PUTRAJAYA – Seramai 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) boleh menebus Baucar Buku Madani bernilai RM100 menerusi portal MySiswaPlace bermula esok.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pemberian baucar menerusi Inisiatif Baucar Buku Madani Tahun 2026 itu diteruskan bagi membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan selain memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti.
“KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan kerajaan meneruskan inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.
“Pelajar warga tempatan yang memenuhi syarat kelayakan boleh menebus Baucar Buku Madani bermula pada pukul 11 pagi esok melalui portal MySiswaPlace.
“Melalui portal ini, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Katanya, bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada pilihan bahan bacaan yang menyeluruh, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan.
“Platform ini menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum yang menyokong pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan intelektual mahasiswa.
“Penerusan Inisiatif Baucar Buku Madani mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Jelas KPT, selain membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan sepanjang tempoh pengajian, inisiatif tersebut turut merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara.
Katanya, ia bagi memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dan menyokong kelestarian industri ilmu.
“KPT yakin usaha ini akan terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa, memperkukuh tradisi keilmuan di kampus dan melahirkan graduan berpengetahuan, berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Sehubungan itu, KPT menyeru semua pelajar yang layak supaya menebus Baucar Buku Madani dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan sebagai pelaburan terbaik dalam membina ilmu, kemahiran dan masa depan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





