Tuesday, November 17, 2026
HomeHIBURANHazama Tolak Sertai GVF Demi Komitmen Kerja Yang Dipersetujui Awal

Hazama Tolak Sertai GVF Demi Komitmen Kerja Yang Dipersetujui Awal

KUALA LUMPUR – Komitmen kerja yang telah dipersetujui lebih awal menjadi punca penyanyi Hazama tidak dapat menyertai program Gegar Vaganza Fantasia (GVF), sekali gus menepis dakwaan kononnya dia merajuk atau terikat dengan kontrak mana-mana stesen penyiaran.

Hazama, 42, berkata pihak produksi ada mengemukakan tawaran dan mengadakan perbincangan dengannya, namun jadual persembahan serta urusan kerja yang sudah diatur sepanjang penghujung tahun menyebabkan dia tidak dapat menerima pelawaan berkenaan.

Katanya, sebahagian komitmen itu membabitkan urusan bayaran yang sudah diterima daripada pelanggan, sekali gus menuntutnya menghormati persetujuan yang dicapai lebih awal.

“Pihak mereka ada tawarkan dan berbincang dengan saya. Cuma, setiap hujung tahun memang banyak acara dan agenda yang sudah dijadualkan.

“Banyak kerja pada hujung tahun ini, malah ada yang sudah mengambil 100 peratus bayaran daripada pelanggan, manakala ada juga yang sudah menerima 50 peratus.

“Jadi, dari segi etika dan prinsip kerja, apabila sudah berjanji untuk memenuhi komitmen di satu tempat, saya perlu tunaikan janji itu,” katanya ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 di sini, semalam.

Mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa keputusan tidak menyertai GVF dibuat kerana dirinya masih relevan dalam industri muzik, Hazama memilih untuk tidak memberikan sebarang penilaian.

Sebaliknya, penyanyi itu berkata, dia tidak mahu membuat andaian mengenai persepsi penonton terhadap program berkenaan kerana setiap penyanyi mempunyai matlamat serta perjuangan tersendiri dalam bidang seni.

“Saya tak berani hendak ulas perkara itu sebab program sebegini kadang-kadang menjadi harapan kepada sesetengah orang. Saya takut nanti orang salah faham dengan kenyataan saya.

“Saya tidak tahu bagaimana penonton di luar melihat program itu. Mungkin ada yang menganggapnya sebagai platform untuk membuat kemunculan semula, ada juga yang melihatnya sebagai peluang pekerjaan.

“Bagi saya, perjuangan setiap penyanyi berbeza-beza. Ada yang menyanyi untuk meneruskan kehidupan, ada yang mahu membuktikan sesuatu dan ada juga yang mempunyai tujuan tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hazama turut menafikan dakwaan kononnya dia terikat dengan mana-mana stesen penyiaran sehingga tidak bebas muncul menerusi program terbitan stesen televisyen lain.

Menegaskan tiada sekatan yang menghalangnya bekerjasama dengan mana-mana pihak, Hazama berkata, dia terbuka menerima tawaran daripada semua stesen penyiaran.

“Saya bebas dan tidak terikat dengan mana-mana stesen penyiaran. Tidak ada isu seperti itu. Saya boleh bekerja dengan mana-mana stesen TV.

“Kalau ada 10 stesen TV di Malaysia, saya boleh bekerja dengan kesemua 10 stesen itu. Saya seniman Malaysia yang berkhidmat untuk semua media massa,” katanya.

Sebelum ini, ketiadaan Hazama yang juga juara Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan dalam senarai peserta GVF mengundang persoalan, terutama dalam kalangan peminat program realiti nyanyian itu.

GVF mula bersiaran pada 8 November lalu dengan menghimpunkan juara serta bekas peserta AF.

Dalam perkembangan lain, Hazama bakal menjadi antara penyanyi jemputan yang menjayakan konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 5 Disember ini.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

ASEAN Perkukuh Kesiapsiagaan Tentera Hadapi Ancaman Baharu

0
MELAKA, 16 November - Negara-negara ASEAN perlu memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama ketenteraan bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks, termasuk ancaman siber, maklumat...

CATEGORIES