HONG KONG – Hong Kong semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim apabila menduduki tempat kedua terbaik dunia bagi kategori destinasi di luar negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2026.
Laporan terbitan CrescentRating dan Mastercard itu turut menyaksikan Hong Kong meraih kedudukan pertama bagi kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim dan Mudah Diakses (Non-OIC), selain tempat kedua bagi kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim untuk Wanita (Non-OIC).
Pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) dalam menyediakan kemudahan dan pengalaman percutian yang lebih selesa untuk pelancong Muslim menerusi kempen Jelajah Hong Kong.
Pilihan Makanan Halal Semakin Meluas
Antara faktor yang menjadikan Hong Kong lebih mesra Muslim ialah kepelbagaian pilihan makanan halal yang boleh dinikmati oleh pengunjung.
Pelancong Muslim boleh mendapatkan makanan yang disahkan halal oleh Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong (BOT), badan yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal di bandar raya berkenaan.
Antara hidangan yang boleh dicuba termasuk dim sum halal di Islamic Centre Canteen, mi itik panggang serta pelbagai pilihan makanan di restoran dan kafe tempatan.
Kemudahan ini membolehkan pelancong Muslim menikmati pengalaman kulinari Hong Kong dengan lebih mudah ketika bercuti.
Kemudahan Solat Di Tempat Tarikan Pelancongan
Selain makanan halal, kemudahan untuk menunaikan solat turut menjadi aspek penting dalam usaha Hong Kong menarik lebih ramai pelancong Muslim.
Bilik solat disediakan di beberapa lokasi utama termasuk taman tema Hong Kong Disneyland dan Ocean Park Hong Kong, selain pusat beli-belah serta fasiliti awam tertentu.
Pilihan penginapan mesra Muslim dan sistem pengangkutan awam yang cekap juga membantu memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang berada di sana.
Sekitar Empat Jam Penerbangan Dari Malaysia
Kedudukan Hong Kong yang boleh dikunjungi dengan penerbangan sekitar empat jam dari Malaysia turut menjadikannya pilihan untuk percutian singkat.
Destinasi ini sesuai untuk pelbagai jenis perjalanan termasuk percutian bersama keluarga, rakan-rakan mahupun pengembaraan secara solo.
Bagi memudahkan perancangan, pelancong boleh merujuk Panduan Pelancongan Muslim yang disediakan oleh HKTB untuk mendapatkan maklumat mengenai restoran halal dan kemudahan mesra Muslim.
Pengiktirafan menerusi GMTI 2026 ini sekali gus menunjukkan usaha Hong Kong dalam membangunkan persekitaran pelancongan yang lebih inklusif, sekali gus memberikan pilihan tambahan kepada pelancong Muslim dari Malaysia dan negara lain.
Sumber – Berita Harian





