KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas dan selebriti, Muhammad Haris Mohd. Ismail atau PU Riz, tidak dapat menahan sebak apabila dituduh sebagai penunggang agama serta tidak mempunyai kelayakan untuk menyampaikan sebarang perkongsian berkaitan agama secara terbuka.
Tampil menjelaskan perkara itu, Haris, 31, menegaskan dia memiliki kelayakan akademik dalam bidang pengajian Islam selain sijil pentauliahan untuk menyampaikan ceramah agama daripada pihak berkuasa agama.
Katanya, dia tidak pernah mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk mengkritik penyampaiannya, namun berharap orang ramai tidak menabur fitnah terhadap kelayakan yang dimiliki.
“Saya sebenarnya sedih dengan perkara ini. Apabila kita memberikan tazkirah kepada orang ramai, saya rasa tidak salah jika ada pihak mahu mengkritik. Itu bukan masalah kerana mungkin mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan.
“Namun, apabila perkara itu melibatkan kelayakan pendidikan, saya berharap mereka dapat menghormati usaha serta perjalanan saya dalam menuntut ilmu.
“Saya minta maaf kerana membangkitkan perkara ini, tetapi saya berharap isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan.
“Pada awalnya, saya tidak begitu terasa, tetapi apabila berterusan menerima pelbagai kata-kata sedemikian, lama-kelamaan perkara itu mula menyakitkan hati,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Haris turut menunjukkan dokumen berkaitan kelayakan akademik dan pentauliahan yang dimilikinya, termasuk ijazah dalam bidang pengajian Islam daripada Open University Malaysia (OUM) serta sijil pentauliahan ceramah agama umum bagi Wilayah Persekutuan sejak 2020.
PU Riz juga mempunyai pentauliahan ceramah motivasi di Kelantan dan mengajar Islam di Sarawak masing-masing pada 2025.
Manakala, dia juga masih menunggu pentauliahan dari negeri Perlis yang kini dalam proses pembaharuan.
Malah, dia pernah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Saya sebenarnya sudah mempunyai tauliah mengajar agama dari Wilayah Persekutuan sejak 2020. Kedua, berhubung persoalan kelayakan pendidikan, ada juga pihak menulis pelbagai perkara sehingga sedikit sebanyak menyentuh perasaan saya.
“Untuk pengetahuan, saya pernah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di UIAM.
“Alhamdulillah, minggu lalu saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam di OUM. Jadi, saya berharap selepas ini tidak timbul lagi persoalan mengenai kelayakan pendidikan mahupun tauliah yang dimiliki,” ujarnya.
Mengulas tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Threads, Nurazian Abdul Talib, PU Riz berkatam dia tidak mengenali individu berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada peguam yang dilantik, Faizal Rahman.
Menurut Faizal, pihaknya telah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit semalam dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan, membuat permohonan maaf secara terbuka serta tidak mengulangi kenyataan sedemikian.
Katanya, pihaknya turut menuntut pampasan sebanyak RM1 juta sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah atau menyalahgunakan algoritma media sosial demi kepentingan peribadi.
Terdahulu, pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan kekecohan di media sosial apabila timbul dakwaan dan salah faham bahawa sesi ramah mesra (meet and greet) berkenaan merupakan program keagamaan.
Susulan itu, PU Riz menjadi sasaran kecaman warganet apabila didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar agama, sekali gus dilabel sebagai penunggang agama.
Sumber – UTUSAN





