Thursday, October 22, 2026
HomeBERITAMeta Didenda RM102 Bilion, ‘Tipu’ Privasi Data Pengguna

Meta Didenda RM102 Bilion, ‘Tipu’ Privasi Data Pengguna

ALBUQUERQUE, NEW MEXICO – Syarikat gergasi teknologi, Meta yang mengendalikan platform popular Facebook, Instagram dan WhatsApp dikenakan denda terbesar dalam sejarah perniagaannya selepas didapati bersalah menipu orang ramai berhubung privasi data pengguna, lapor Perbadanan Penyiaran Britain.

Hakim Francis Mathew di mahkamah New Mexico, Amerika Syarikat (AS) memerintahkan Meta membayar denda AS$25 bilion (RM102 bilion) susulan perbicaraan selama dua minggu yang membuktikan syarikat itu menyebarkan maklumat palsu berhubung pengendalian data pengguna Facebook.

Menurut Hakim Mathew, tindakan pelanggaran undang-undang dan salah nyata yang dilakukan Meta adalah secara ‘sengaja’ serta berlarutan selama lebih 11 tahun dari 2010 hingga 2021.

“Penipuan ini bukan sahaja melibatkan amalan data Facebook, malah ia menyentuh sehingga ke teras amalan perniagaan utama syarikat berkenaan,” katanya.

Saman yang dikemukakan oleh Negeri New Mexico itu berpunca daripada peranan syarikat berkenaan dalam skandal Cambridge Analytica, yang memanfaatkan data jutaan pengguna Facebook bagi perundingan politik, termasuk kempen Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Selain isu data, juri mahkamah turut mendapati Meta sengaja mengelirukan orang ramai berhubung keuntungan yang diperoleh daripada kandungan ucapan kebencian serta penguatkuasaan peraturannya.

Peguam Negari New Mexico, Raul Torrez berkata, keputusan mahkamah itu membuktikan tiada mana-mana perbadanan gergasi yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Sekian lama syarikat teknologi berkuasa ini beroperasi seolah-olah saiz dan pengaruh mereka meletakkan mereka di atas undang-undang.

“Keputusan hari ini menegaskan bahawa tiada korporat yang terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan,” jelasnya.

Pihak pendakwaan sebelum ini menuntut denda sehingga AS$40 bilion (RM163 bilion) selepas menyimpulkan bahawa keseluruhan dua juta penduduk New Mexico terjejas akibat ketidakjujuran Meta, selain melanggar undang-undang negeri.

Sementara itu, Ketua Peguam Meta, CJ Mahoney mempertikaikan keputusan berkenaan dan mendakwa saman itu seolah-olah bertujuan mengenakan ‘cukai ke atas kebebasan bersuara’.

Beliau menegaskan bahawa keputusan itu menyukarkan Meta untuk terus menjalankan perniagaan di New Mexico dan mengesahkan syarikat itu bakal mengemukakan rayuan berhubung hukuman tersebut.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Jangan Ketepi Pelakon Veteran, Mereka Dah Lama Berkorban’ – Josiah Hogan

0
KUALA LUMPUR – Pelakon Josiah Hogan meluahkan rasa kesal apabila terdapat segelintir penggiat seni seolah-olah kurang menghargai artis veteran, meskipun mereka sudah bertahun-tahun menabur...

CATEGORIES