Friday, October 9, 2026
HomeBERITASelangor Tangguh Sambutan Hari Sukan Negara Susulan Jerebu

Selangor Tangguh Sambutan Hari Sukan Negara Susulan Jerebu

SHAH ALAM – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat, sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan dalam keadaan semasa.

“Pendirian kerajaan negeri adalah jelas, keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.

“Sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” kata Najwan dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sambutan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober itu ditangguhkan sehingga tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Justeru katanya, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur yang terbabit diminta mengambil maklum penangguhan berkenaan dan melaksanakan penyelarasan sewajarnya.

“Orang ramai turut diminta merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung penjadualan semula program berkenaan

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan jerebu dan berpandukan nasihat pihak berkuasa berkaitan dalam menentukan langkah selanjutnya.

“Penangguhan berkenaan bukan bermakna komitmen terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab memastikan setiap inisiatif sukan dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan rakyat kepada risiko kesihatan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Remaja Maut Akibat Renjatan Elektrik Ketika Cuba Melarikan Diri Daripada Polis

0
KOTA KINABALU - Seorang remaja lelaki ditemukan maut dipercayai akibat renjatan elektrik ketika cuba melarikan  diri daripada pemeriksaan polis di sebuah premis di kawasan...

CATEGORIES