Thursday, October 8, 2026
HomeHIBURANSaya Tak Naik Pentas Bukan Sebab Ada Isu Dengan SOG – Amir...

Saya Tak Naik Pentas Bukan Sebab Ada Isu Dengan SOG – Amir Masdi

KUALA LUMPUR – Penyanyi Amir Masdi tampil menjelaskan dakwaan wujud salah faham dengan kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG) selepas dia tidak kelihatan di pentas ketika mereka menerima trofi Kugiran Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, baru-baru ini.

Amir, 29, berkata, ketiadaannya di pentas bukan disebabkan berkecil hati atau mempunyai masalah dengan SOG, sebaliknya dia ketika itu berada di belakang pentas untuk membuat persiapan bagi persembahan seterusnya.

Katanya, dia juga tidak mengambil hati apabila SOG terlupa menyebut namanya ketika ucapan kemenangan kerana menganggap trofi berkenaan adalah milik kumpulan terbabit.

“Tak ada langsung isu dengan SOG. Ada dua insiden yang orang salah faham. Satu, saya tak naik. Satu lagi, SOG terlupa nak sebut nama saya, tetapi saya okey.

“Pertama, saya tak naik sebab saya berada di belakang pentas ketika itu. Ada video yang saya muat naik di Instagram ketika mereka sedang naik pentas, saya berada di belakang sambil memakai ear monitor dan meraikan kemenangan mereka.

“Betul-betul di tempat yang sama di belakang pentas kerana selepas penyampaian anugerah itu ada slot persembahan. Sebab saya tidak berada di pentas adalah kerana saya sedang bersiap untuk membuat persembahan,” katanya pada sidang media Amir Masdi AM:PM Showcase di Malaysia Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas, di sini, semalam.

Mengulas dakwaan SOG terlupa menyebut namanya ketika menyampaikan ucapan kemenangan, Amir berkata, perkara itu bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan.

“Secara peribadi, saya tak ada apa-apa isu atau masalah langsung kerana ia adalah kategori kumpulan. Ia lebih kepada mereka menerusi lagu Mahkota dan saya gembira dapat membantu mereka untuk kategori itu kerana mereka memang layak menang.

“Selepas turun pentas, mereka cari saya di holding room, tetapi kami tidak sempat berjumpa. Bagaimanapun, mereka hubungi saya menerusi panggilan telefon dan WhatsApp.

“Mereka beritahu terlupa menyebut nama saya kerana terlalu teruja dan saya katakan tidak mengapa. Ini lebih kepada SOG sebenarnya. Kugiran Terbaik adalah Kumpulan Gitar Rancak Terbaik.

“Jadi, saya cakap kemenangan ini adalah milik mereka dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada lagu Mahkota,” katanya.

Amir turut berterima kasih kepada SOG kerana memberinya peluang untuk bekerjasama menerusi lagu Mahkota, selain menegaskan hubungan mereka kekal baik.

“Saya berterima kasih kepada SOG kerana memberi peluang untuk saya berkolaborasi bersama. Kami tiada masalah. Kalau berjumpa pun kami masih berpeluk,” katanya.

Terdahulu, SOG dan Amir menerusi lagu Mahkota berjaya membawa pulang trofi Kugiran (Band) Terbaik pada AIM Ke-25 yang berlangsung pada 26 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Amir mengumumkan penganjuran AM:PM Showcase yang bakal berlangsung pada 20 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur.

Dianjurkan AR United Music dengan sokongan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, persembahan itu bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya bakal menampilkan sisi lebih peribadi Amir sebagai penyanyi, penghibur dan pengkarya.

Dengan kapasiti Zepp Kuala Lumpur yang lebih intim, Amir berkata idea menghasilkan AM:PM Showcase tercetus daripada keinginannya untuk meraikan perjalanan seni bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Maybank Tawar Kad Kredit Mampu Milik Patuh Syariah

0
KUALA LUMPUR - Kad Kredit-i Maybank Islamic Nadi Mastercard kini dibuka untuk permohonan di seluruh negara, menawarkan kemudahan kredit patuh Syariah kepada pelanggan yang...

CATEGORIES