PETALING JAYA – Isteri kepada pelawak Shuib iaitu Watie Hanifiah, mendedahkan anak tirinya, Ayash Affan disahkan bedepan gangguan autisme ringan (mild autisme) sejak berusia tiga tahun.
Menurut Watie atau nama penuhnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 37, dia membawa Ayash, 5, bertemu dengan pakar selepas menyedari beberapa perwatakan anak tirinya yang dianggap berbeza berbanding kanak-kanak lain.
“Saya ada bawa Ayash pergi jumpa pakar yang memerlukannya untuk membuat penilaian sebelum disahkan penyakitnya.
“Ada suatu ketika itu, saya sedang lipat baju di bilik dan meminta dia untuk mengambil alat kawalan jauh televisyen, dia ambil tapi tindakannya berulang sambil ketawa,” katanya dalam video tersebut.
Tambahnya, situasi berkenaan membuatkan dia perlu lebih banyak bersabar dan mengulangi perkara sama setiap hari bagi membantu Ayash mempelajari sesuatu perkara.
“Jenuh juga masa mula-mula nak ajar dia. Kena buat benda dan rutin yang sama setiap hari.
“Dalam tempoh sebulan, saya ajar benda yang sama setiap hari,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata memuji kesabaran dan ketekunan Watie dalam mendidik Ayash.
“Bagusnya Watie, kesabaran sangat tinggi walaupun hanya ibu tiri.
“Hebat Watie, jalankan tanggungjawab mendidik Ayash dengan baik,” puji netizen.
Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023, sekali gus menjadi ibu tiri kepada empat anak Shuib hasil perkahwinan dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Ayash dilahirkan pramatang secara pembedahan pada 6 Ogos 2021 namun tiga hari kemudian, Siti Sarah disahkan meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Sumber – KOSMO! ONLINE





