PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pernah berdepan pertembungan pandangan berhubung kebebasan dunia seni, khususnya apabila karya filem berdepan pelbagai sekatan.
Anwar, 79, berkata pendekatan terhadap industri seni perlu berubah mengikut perkembangan zaman, terutama bagi memberi ruang lebih luas kepada generasi muda mengekspresikan kreativiti, tanpa mengabaikan budaya, nilai serta akhlak masyarakat.
“Generasi muda agak kurang senang dengan pendekatan menekan serta menghalang filem. Saya masih ingat ketika filem Perempuan, Isteri dan … lakonan Sofia Jane mahu diharamkan, saya cuba memperjuangkan supaya karya itu dikembalikan.
“Filem Schindler’s List, antara filem hebat ketika itu, turut diharamkan kerana satu babak tertentu. Jadi, toleransi pada masa tersebut sangat terbatas. Itu antara contoh pertembungan dalam dunia seni,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambahnya, perubahan zaman turut menuntut pendekatan lebih terbuka terhadap karya kreatif, khususnya apabila generasi muda hari ini mempunyai pandangan serta keperluan berbeza.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keterbukaan dalam berkarya tidak bermaksud segala bentuk kandungan perlu diterima tanpa batas, sebaliknya kebebasan tersebut masih perlu berpaksikan nilai serta budaya tempatan.
“Tetapi dunia sudah berubah. Bukan bermakna saya menggalakkan unsur ketelanjangan atau adegan seks dalam filem, tetapi berilah sedikit ruang. Orang muda mahukan kebebasan.
“Itu satu contoh bagaimana berlaku pertembungan idea antara pemikiran lama dan pendekatan lebih menekan dengan pemikiran baharu.
“Akhirnya, pertembungan itu turut menyentuh persoalan lebih besar seperti usaha menyelamatkan kroni, rasuah dan keluarga. Ada pertembungan sehingga saya sendiri dipenjarakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar sebelum ini menegaskan industri filem tempatan perlu bergerak lebih berani, kreatif dan terbuka seiring perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), animasi serta kandungan digital.
Pada masa sama, keterbukaan tersebut perlu kekal berteraskan budaya, nilai dan akhlak masyarakat Malaysia supaya perkembangan industri kreatif tidak menghakis identiti tempatan.
Perkara itu turut selari dengan pandangan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr Hans Isaac, baru-baru ini apabila beliau berkata kebebasan berkarya perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan budaya negara.
Kenyataan Anwar mengenai ruang lebih terbuka untuk penggiat seni turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen, terutama mengenai keseimbangan antara kebebasan kreatif dengan batas budaya serta nilai masyarakat.
Sumber – KOSMO! ONLINE.





