Friday, September 11, 2026
HomeHIBURANDemi Tiara, Achey Dan Isteri Ulangi Rawatan IVF

Demi Tiara, Achey Dan Isteri Ulangi Rawatan IVF

KUALA LUMPUR – Pelawak dan penyanyi, Achey nekad meneruskan rawatan persenyewaan in vitro ( IVF) untuk kali kedua bersama isteri tercinta , Nor Hasanah Yahaya demi memenuhi impian anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah, 8, yang semakin menginginkan seorang adik.

Achey, 40, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, berkata keputusan itu dibuat selepas melihat perubahan tingkah laku Tiara yang semakin menunjukkan minat terhadap kanak-kanak dan sering meluahkan keinginan untuk mempunyai adik.

“Salah satu sebab IVF ini diteruskan pada tahun ini kerana Tiara. Nampak tingkah laku dia sudah mula nak adik.

“Dia pergi ke mana saja, kalau nampak budak, dia akan dukung. Tak kira anak siapa, dia akan dukung.

“Selalunya, dia akan dukung anak kawan-kawan ‘motocross’ saya. Dia juga selalu cakap nak jumpa anak kawan-kawan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena filem terbaharunya, Keranda Tan Sri Terbang, di Balai Berita, Bangsar, di sini, pagi tadi.

Susulan itu, Achey berkata, isterinya yang mesra disapa Anne kini berehat di rumah bagi menjalani rawatan IVF kedua yang bermula 5 September lalu.

Katanya, Anne perlu melalui tempoh rehat yang lebih panjang berbanding rawatan IVF pertama sebelum ini.

“Saya sudah buat keputusan untuk tahun ini bersama isteri untuk lakukan semula. Selepas gagal pada kali pertama, kali ini kami buat dengan Alhaya Fertility Centre bersama Dr Haris Hamzah.

“Kami sudah buat kajian mengenai Dr Haris. Beliau adalah antara individu yang terawal berjaya melakukan IVF di Malaysia dan banyak juga keputusan positif,” katanya.

Bagaimanapun, Achey berkata, dia dan Anne tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT.

“Untuk kali kedua ini, saya tidak mengharap apa-apa. Kami jalani dengan tenang, santai dan lalui saja.

“Proses IVF kali ini lebih terperinci dan sangat panjang, jadi kami lalui dengan tenang.

“Kami cuma mengharapkan orang mendoakan kerana kita tidak tahu doa siapa yang akan diangkat, terutama mereka yang benar-benar ikhlas mendoakan.

“Berjaya atau tidak, kami sudah berusaha. Selebihnya kami berserah,” katanya.

Katanya, Anne kini menjalani rehat sepenuhnya di rumah bagi memastikan proses rawatan berkenaan berjalan lancar.

“Sekarang, isteri saya sedang ‘bed rest’. Kali ini bukan seperti ‘bed rest’ yang pertama kerana tempohnya agak panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Achey mengakui kagum melihat pengorbanan Anne yang sanggup melalui proses IVF sekali lagi demi mendapatkan zuriat daripada rahimnya sendiri.

“Saya kagum. Saya beruntung ada isteri yang menginginkan zuriat daripada rahimnya dan sanggup berusaha untuk menjalani rawatan ini.

“Saya boleh cakap, IVF ini sakit. Prosesnya bukan semudah yang orang sangka. Orang cakap, ‘Kalau tak dapat anak, buat IVF.’

“Mudah orang cakap, tetapi sebenarnya proses itu menyakitkan,” katanya.

Menurut Achey, antara perubahan yang dialami Anne ketika menjalani rawatan kali ini ialah suhu badannya meningkat sehingga tubuh terasa panas walaupun berada dalam bilik berhawa dingin.

Sebelum ini, pada Disember 2022, Achey memaklumkan isterinya menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat, namun usaha berkenaan tidak berjaya.

Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018

Dalam perkembangan lain, filem terbaharu lakonan Achey, Keranda Tan Sri Terbang, dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara sekitar hujung tahun ini.

Diarahkan Waan Hafiz, filem berkenaan turut menampilkan Shashic, Namie, Joey Daud, Norish Karman, Namron, Pablo Amirul, Watie Sadali, Amy Nur Tinie, Scha Ellinea, Sandra Lim dan Taqim Zaki.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Lagu Ciptaan Ajai Lolos Top 5, Aisha Retno Yakin Tiada Pilih...

0
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno, yakin pemilihan lagu Diari Air Mata yang berjaya lolos ke kelompok Top 5 menerusi kategori Lagu Pop Terbaik Anugerah...

CATEGORIES