KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – International Sustainability Week (ISW) 2026 bermula hari ini dengan seruan bagi kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan lain untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah persekitaran binaan yang lebih lestari dan mencapai sasaran sifar bersih.
Diadakan sempena World Green Building Week 2026, ISW 2026 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan anjuran bersama GreenRE Sdn Bhd. Bertemakan “From Certification to Transformation – Building a Net Zero Future Together”, platform dua hari ini menggabungkan International Green Build Conference (IGBC) edisi ke-6 tahun 2026 dan GreenScape: International Green Innovation Exhibition yang julung kali diadakan, yang membawa bersama perbincangan dasar dan kerjasama industri menerusi perkongsian penyelesaian praktikal untuk persekitaran binaan.
Menyempurnakan majlis perasmian, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata: “Pembangunan bandaraya kini tidak lagi memadai sekadar mengurangkan kesan terhadap alam sekitar; sebaliknya, bandaraya perlu menjadi lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta memainkan peranan aktif dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Transformasi persekitaran binaan tidak akan berlaku melalui satu dasar atau projek sahaja. Ia akan berlaku melalui ribuan keputusan yang dibuat setiap hari oleh arkitek, jurutera, perancang, pemaju, pembiaya, penggubal dasar dan komuniti.”
Datuk Seri FD Iskandar, Pengerusi GreenRE Sdn Bhd dan Pengerusi Bersama ISW 2026, berkata: “Pensijilan yang kredibel kini dilihat semakin berperanan sebagai instrumen kewangan. Dengan menterjemahkan prestasi alam sekitar kepada bukti yang kredibel dan boleh disahkan, pensijilan dapat memperkukuh akses kepada pembiayaan hijau dan pembiayaan berkeutamaan, mengurangkan kos operasi, meningkatkan prestasi aset dan seterusnya meningkatkan nilai aset dalam jangka panjang. GreenRE adalah selaras dengan taksonomi ASEAN dan Bank Negara dalam pelaksanaan kewangan lestari. Di sinilah pensijilan menjadi transformasi – bukan sekadar mengiktiraf sesebuah bangunan hijau, malah menjadikan kelestarian sesuatu yang boleh diukur, dilaburkan dan memberi nilai.”
Puan Jessie Tan, Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, berkata: “Teras kepercayaan kami ialah apabila jalinan kerjasama mengubah daripada sekadar satu pertemuan menjadi pemankin kepada perubahan dan meninggalkan impak yang berkesan. Ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan komuniti — dan itulah asas sebenar kepada penganjuran International Sustainability Week. Kami merangka ISW 2026 kerana sektor persekitaran binaan memainkan peranan penting dalam hala tuju Malaysia ke arah mencapai sasaran sifar bersih. Bangunan dan bandar menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon kita, justeru transformasi sebenar perlu bermula di sini.”
Daripada Pensijilan kepada Transformasi
Perasmian ISW 2026 menyediakan pentas untuk perbincangan lebih luas mengenai hala tuju kelestarian seterusnya bagi persekitaran binaan Malaysia – beralih dari pensijilan dan komitmen kepada transformasi yang boleh diukur, daya tahan iklim yang lebih kukuh, penyahkarbonan serta pembangunan bandar yang lebih selesa didiami.
Hari Pertama IGBC 2026 menampilkan kira-kira 12 penceramah tempatan dan antarabangsa menerusi enam sesi yang membincangkan cabaran dan peluang yang membentuk fasa seterusnya dalam peralihan persekitaran binaan.
Antara perbincangan utama ialah “From Net Zero to Net Positive: The Next Frontier of the Built Environment”, yang disampaikan oleh Joan Ko, Pemimpin Persekitaran, Iklim dan Kelestarian Global, ARUP , serta sesi panel “Climate-Resilient Cities: Designing for Adaptation, Equity and Long-Term Value”, yang menghimpunkan pelbagai perspektif mengenai bagaimana bandar boleh menangani risiko iklim sambil kekal inklusif dan berdaya huni.
Program ini turut menampilkan Nadia Verjee, Pengarah Eksekutif, Expo City Dubai, yang berkongsi pandangan mengenai platform global dan model kerjasama antarabangsa. YB Datuk Dr. Haji Hazland bin Abang Haji Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, menyampaikan ucaptama bertajuk “Powering the Net Zero Transition”.
Secara keseluruhannya, perbincangan yang diadakan menekankan bahawa usaha mencapai persekitaran binaan sifar bersih memerlukan tindakan merentas pelbagai bidang—daripada perancangan bandar dan reka bentuk bangunan hinggalah kepada tenaga, infrastruktur, teknologi dan pelaburan jangka panjang.
Seiring dengan IGBC 2026, GreenScape: International Green Innovation Exhibition turut dibuka kepada orang ramai; menampilkan perniagaan, teknologi dan penyelesaian yang menyokong peralihan ke arah persekitaran binaan yang lebih lestari, sekali gus memberikan dimensi praktikal kepada perbincangan yang berlangsung di persidangan tersebut.
Hari pertama turut menyaksikan REHDA Malaysia menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) berasingan dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA) sekali gus memperkukuh komitmennya dalam memajukan penerapan ESG dalam industri hartanah dan pembangunan perumahan di Malaysia. MoU dengan MGTC akan menyokong kerjasama dalam inisiatif kelestarian, kepimpinan hijau, inovasi dan amalan terbaik industri, manakala MoU dengan MCMA akan memberi tumpuan kepada pasaran karbon, pengurusan karbon, strategi penyahkarbonan, penyelidikan, pengumpulan data dan penerbitan.
Memperluas Perbincangan Kelestarian
Turut berlangsung secara serentak di MITEC ialah beberapa forum sampingan dan acara kerjasama. Antaranya termasuk “Inside Expo 2025 Osaka: How a Mega-Event Became a Blueprint for Future Cities”, yang disampaikan oleh Yoshikazu Tanaka, Ketua Pengarah, Osaka Convention & Tourism Bureau; “Green Engineering: Delivering Sustainable, Energy Efficient and Cost-Effective Buildings” anjuran Meinhardt EPCM; “Cyberjaya CEO Sustainability Dialogue” yang diterajui oleh Cyberview; serta acara aktivasi awam bersepadu oleh Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB).
Sesi-sesi ini memperluaskan perbincangan mengenai sifar bersih melangkaui pentas utama kepada realiti praktikal yang dihadapi oleh perniagaan, bandar dan pihak berkepentingan industri. ISW 2026 akan diteruskan esok, 11 September, dengan hari kedua IGBC 2026 memberi tumpuan kepada usaha menjadikan bandar lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
ISW 2026 mendapat sokongan padu daripada Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Rakan sokongan termasuk MATRADE, MGTC, REHDA, CIDB Malaysia, MCMTC, Persatuan Perniagaan Vietnam-Malaysia, Peniagawati, dan Dewan Perniagaan Malaysia-New Zealand.
Tenaga Nasional Berhad sebagai rakan kelestarian tenaga, penaja utama ialah Starken Drymix, Starken AAC, Ajiya Safety Glass dan Asia Roofing Industries, dan penaja korporat ialah Beam Society dan 1 Utama City Group. Rakan strategik ialah Malaysia Green Building Council, rakan karbon BSD Consultancy Sdn Bhd & Climate Asia, rakan media rasmi EdgeProp, dan rakan media adalah Exchange Asia, Dailywire.asia dan i-lifepost.





