PETALING JAYA – Penganjur Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan rancangan untuk kembali belayar menuju ke Gaza pada Oktober ini menerusi misi antarabangsa baharu bagi mencabar sekatan dikenakan terhadap wilayah berkenaan.
Menerusi hantaran di media sosial, misi itu turut bertujuan meningkatkan tekanan rakyat dan masyarakat antarabangsa supaya sekatan terhadap Gaza ditamatkan.
Menurut penganjur, pelayaran tersebut akan melalui beberapa persinggahan di Sepanyol, Portugal dan Itali sebelum armada meneruskan perjalanan menuju ke Gaza.
Misi berkenaan bukan sekadar bertujuan menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin, malah berusaha menggerakkan sokongan awam secara lebih meluas serta memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan Eropah supaya mengambil tindakan terhadap Israel.
Antara tuntutan yang akan dibawa termasuk menghentikan penghantaran senjata dan bekalan tenaga yang didakwa menyokong operasi ketenteraan Israel, selain menamatkan kerjasama diplomatik dan ketenteraan dengan Israel.
Ahli Jawatankuasa Induk FFC, Zohar Chamberlain Regev berkata, keputusan melancarkan semula misi berkenaan dibuat kerana kerajaan dunia masih gagal melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin.
“Kami akan membawa tuntutan agar rakyat Palestin diberikan kebebasan untuk hidup dengan bermaruah ke setiap pelabuhan,” katanya.
Selepas siri persinggahan di beberapa pelabuhan Eropah, armada itu dijangka meneruskan pelayaran dalam usaha untuk sampai ke Gaza.
Sumber – KOSMO! ONLINE.





