PETALING JAYA – Penantian empat tahun terlerai apabila penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga selepas menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Berita gembira tersebut dikongsikan sahabat juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi hantaran dalam laman sosial Threads, malam tadi.
Menurut Akbar, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.
“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.
“Ya Allah, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara.
“Ini semua kuasa Allah SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Akbar turut memaklumkan sudah menghubungi Yasin bagi mengetahui keadaan terkininya.
“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu ‘update’ terbaru saya bersama beliau nanti. Insya-Allah. Kami sangat gembira,” ujarnya.
Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan komposer terbabit.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Sumber – KOSMO! ONLINE





