KUALA LUMPUR – Pelakon dan peserta program Kilauan Emas Selebriti, Zila Bakarin sudah memasang niat untuk menderma sekiranya sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Emas Berkilau Of The Week.
Zila mengeluarkan kenyataan itu di Threads sekaligus menjawab pertanyaan netizen mengenai hadiah kemenangan bernilai RM2,000.
“Dari awal lagi sudah diberitahu bahawa duit itu adalah untuk derma, sebab itu saya letakkan niat,” tulisnya.
Tambah Zila, 51, dia juga mewakili penyokong yang secara tidak langsung turut sama menuai pahala atas derma yang diberi kepada penyanyi veteran yang kini berdepan pelbagai masalah kesihatan, Mariam Ahmad.
“Kepada mereka yang undi saya untuk menang, saya doakan agar mengalir juga pahala sedekah kepada mereka.
“Saya mewakili mereka untuk menyampaikan sumbangan itu. Terima kasih kepada semua pengundi,” tulisnya.
Sumber – Berita Harian





