Wednesday, August 26, 2026
HomeHIBURAN'Aina Abdul, Emas Yang Kita Perlu Jaga' - Noh Salleh

‘Aina Abdul, Emas Yang Kita Perlu Jaga’ – Noh Salleh

KUALA LUMPUR – Dikatakan mengetengahkan paparan berunsur mengerikan, penyanyi Noh Salleh enggan mengambil peduli segala kecaman dan kritikan khalayak terhadap video muzik lagu Sang Penikam duet bersama Aina Abdul yang dilancarkan sejak 23 Ogos lalu.

Menurut Noh, 41, kepuasan dirinya sebagai pengkarya adalah perkara utama yang dititikberatkan berbanding pendapat khalayak mengenai hasil kerjanya.

“Semua itu adalah hasil perbincangan bersama pengarah, kami rancang cara untuk mengindahkan sebuah lagu istimewa itu dan diabadikan dalam bentuk video muzik.

“Alhamdulillah dapat hasil yang bagus dan menepati cita rasa saya dan Aina. Dia pun tak pernah buat visual ngeri dan ganas sebegitu dan rasa-rasanya di Malaysia tidak ada lagi video muzik ada adegan potong-potong (anggota badan) macam itu.

“Pergi mampuslah nak cakap apa, sebab seni kami adalah untuk kami dan bukan untuk senangkan hati orang. Kalau asyik nak puaskan hati orang, memang tak akan bergerak,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media program Borneo Rising di sini, semalam.

Ujarnya, keputusan untuk berduet dengan Aina bagi lagu yang menjadi runut bunyi drama Cinta Dalam Sekam itu adalah antara perkara terbaik yang dilakukan sepanjang bergelar anak seni.

Noh juga turut memuji keperibadian Aina selain menyifatkan penyanyi tersebut sebagai individu yang bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja perkara terutama berkaitan kerjaya seni.

“Dalam banyak-banyak rakan duet, bekerja dengan Aina paling susah. Setiap kali lagu dimainkan, dia sudah masuk zone sendiri.

“Ketika ini, saya rasa sangat bersyukur dapat berkolaborasi dengannya. Dia memang pelapis penyanyi baharu yang ada jiwa.

“Kalau orang nak cakap apa saja mengenai Aina, pergi mampuslah tetapi sebagai seorang penyanyi, dia adalah emas yang kita perlu jaga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia sempat mendedahkan bakal merakam sebuah lagi lagu duet bersama Aina selepas kolaborasi Sang Penikam meraih respons positif daripada orang ramai.

“Maaf Aina, saya kena kantoikan sebab terlalu teruja, sebenarnya minggu depan kami akan rakam sebuah lagi lagu baharu yang seperti kesinambungan Sang Penikam.

“Lagu itu sama kuat dan dihasilkan oleh Aina sementara produsernya pula dari Indonesia iaitu Vega Antares,” jelasnya.

Terdahulu, wujud segelintir pihak yang mempertikai visual muzik video Sang Penikam kerana memaparkan babak yang mengerikan seperti kepala dipenggal, beberapa bahagian anggota badan dikerat, dibakar dan adegan tembakan berdarah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Sulong Dah Sampai Mana Pagi Ni?’ – Netizen

0
PETALING JAYA – ‘Di mana Sulong pagi ni?’ Itu antara persoalan yang memenuhi media sosial apabila orang ramai terus mengikuti perkembangan seekor gajah jantan dikenali...

CATEGORIES