KUALA LUMPUR – Penyanyi Fiza Thomas meminta orang ramai memberi ruang dan peluang kepada pelakon Aliff Aziz mempamerkan bakatnya dalam pementasan teater muzikal Manzur & Liu yang bakal berlangsung pada September depan.
Sebagai antara pelakon yang menjayakan teater arahan Datuk M. Nasir itu, Fiza berkata, perkara tersebut disuarakannya selepas melihat kesungguhan penyanyi kelahiran Singapura itu berlatih bersama seluruh pasukan Mansur & Liu sejak 25 hari lalu.
“Memang dia ada kisah silam tetapi janganlah menghukum sehingga menutup periuk nasinya.
“Saya sudah bertemu dan berlatih dengannya selama 25 hari dan dia banyak bertanya bagaimana cara untuk menjadi pelakon teater muzikal. Saya tak mengikuti cerita sensasi dia tetapi saya melihat Aliff sebagai individu yang memang nak belajar.
“Berilah peluang kerana dia hebat. Sepanjang 25 hari berlatih, dia bertanya banyak soalan sedangkan dia memang ‘power’ berlakon teater muzikal,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media pelancaran album EPnya berjudul Rayakan Dia di sini, semalam.
Tambah Fiza, Aliff juga pernah berkongsi mengenai komen-komen netizen yang tidak bersetuju dengan pemilihannya sebagai pemegang watak Sultan Mansur Shah serta ingin memboikot pementasan teater muzikal itu.
Namun, dia berkata, Aliff memilih untuk tidak mengambil serius dengan semua kecaman yang dilontarkan kepadanya.
“Kadang-kadang kami ada juga bergurau apabila dia tunjuk mengenai hal ini sambil memberitahu komen-komen netizen yang ditujukan kepadanya sambil tergelak.
“Kami ada juga minta dia jangan ambil kisah dan Aliff beritahu dia tak peduli dan okey saja.
“Tapi luaran mungkin dia okey, dalam hati dia kita tak tahu termasuk keadaan mentalnya,” jelas Fiza.
Dalam pada itu, dia mengakui kurang bersetuju dengan tindakan segelintir individu yang mahu memboikot pementasan teater tersebut hanya disebabkan watak utama disandang oleh Aliff.
“Saya tak gemarlah trend boikot-memboikot dan bukan jenis akan balas jika orang buat benda tidak baik kepada saya.
“Namun, semua orang ada pilihan tetapi kalau boleh teruskan buat baik dengan individu lain,” ujarnya.
Selain Fiza dan Aliff, Mansur & Liu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Arena Wan dan Ruzana Ibrahim.
Pementasan Mansur & Liu dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 10 hingga 20 September 2026.
Sumber – KOSMO! ONLINE





