“TENGOKLAH sendiri, saya memang tak ada media sosial baik Instagram, TikTok atau Thread di telefon,”
Pelawak, pelakon dan penyampai radio, Johan, menyuakan telefon bimbit kepada kami, meyakinkan bahawa kata-katanya bukan kosong belaka. Sudah 10 tahun dia hidup begini, tidak tahu apa yang sedang bising-bising di media sosial walaupun yang tular itu berkaitan dirinya.
Johan atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 42, berkata segala info mengenai isu semasa diperoleh melalui Google. Dia tetap kena ambil tahu memandangkan kerjayanya sebagai penyampai radio mewajibkannya sentiasa peka kepada apa yang dibincangkan masyarakat hari ini.
Pelakon Baik Punya Ah Long itu ibarat menongkah arus di kala ramai selebriti merasakan media sosial adalah ‘nyawa’ untuk memastikan diri mereka diingati dan kekal relevan. Ditanya apa yang mendorongnya membuat keputusan itu, Johan senyum mengatakan semua pengorbanan itu dilakukan demi keluarga.
“Saya rasa hidup saya lebih konsisten. Cukuplah hidup saya bersama isteri, bawa anak pergi gim atau bermain. Semua ini untuk keluarga saya. Kadang anak-anak bermain, saya dan isteri duduk berdua.
“Kalau kerja pula, sebelum ke udara, ada yang akan maklumkan dahulu apa terjadi atau perkara tular kepada saya. Tugas saya pula akan ulas di radio. Saya pula jenisn tidak ingat apa benda yang tular. Saya lebih suka berjumpa berdepan macam sekarang ini.
“Saya ingat muka awak, berbanding dalam video. Kadang dalam gambar lain, jumpa depan lain pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Alang-alang Johan tidak tahu apa yang berlaku di dunia maya, kami sahajalah mahu bocor rahsia kalau-kalau diatidak tahu isterinya yang juga pelakon, Ozlynn Waty, suka memuat naik video kerenah suami isteri saling menyakat di media sosial.
Baik video Johan ‘terpaksa’ bayarkan parcel yang sampai, basuh baju dengan tangan di bilik hingga makan masakan isteri sorok-sorok semuanya tular. Malah, isterinya itu sering menceritakan kebaikan Johan sebagai suami yang sanggup lakukan apa sahaja demi menjaga kebajikan keluarga.
Ketawa pelawak itu pecah, mana tidaknya, kadangkala habis dia dimarahi kawan-kawan di padang bola kerana isteri mereka membandingan suami masing-masing dengan Johan.
“Saya hanya tahu perkongsian Ozlynn tular bila dia sudah muat naik lima video. Sudah tidak boleh nak buat apa-apa. Saya pula akan tengok Instagram melalui komputer. Bila ‘refresh’ sudah selamat lima video.
“Kadang saya kena maki dulu dengan kawan-kawan ‘Kaulah bang, fasal kaulah bini aku cakap, kalau artis boleh basuh baju guna tangan, tak akan kau tak boleh buat!”. Salah aku? Salah kaulah bang!’ katanya.Walaupun sering meraih pujian ramai yang geli hati dengan gelagat Johan dan Ozlynn, peserta Raja Lawak itu bagaimanapun berjaga-jaga kerana tidak mahu termakan pujian ramai.
“Saya anggap tanggapan itu semua bonus. Kalau boleh hidup ini saya tidak mahu jalani dek puji, mati dek keji. Saya tak nak macam itu. Saya menjalani kehidupan saya saja. Tak peduli orang nak cakap apa.
“Saya cuma cari makan sahaja. Kerja saya ialah fikir macam mana saya mahu bayar semua. Saya bekerja untuk keluarga dan buat mereka bahagia. Saya ingat nasihat isteri setiap kebaikan kena mulakan dari rumah.
“Sebab itu saya tak nak baca apa orang komen. Kalau mereka rasa itu terbaik, ambil. Sebab sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Saya banyak kekurangan yang perlu diperbaiki sebab ibadah yang saya ada pun tidak cukup untuk bawa saya ke alam sana nanti,” katanya.
Sumber – Utusan





