SHAH ALAM – Menyelitkan alunan selawat dalam lagu Intifada yang berentak rock, penyanyi Mawi menjelaskan perkara tersebut terletus dari bibirnya secara spontan mengikut ilham ketika berada di atas pentas.
Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45, memaklumkan bahagian berkenaan sememangnya dikosongkan sejak awal perancangan untuk disesuaikan dengan gerak hati semasa persembahan berlangsung.
“Bahagian itu memang dibiarkan kosong. Dari awal lagi saya rancang, cuma saya tunggu apa yang terilham waktu di atas pentas.
“Jadi atas pentas terkeluar selawat, itu yang terpacul. Dia spontan keluar selawat itu,” katanya semasa konsert minggu ketiga GVF, semalam.
Tambah juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu, pendekatan spontan sedemikian bukanlah kali pertama dilakukan, bahkan pernah terjadi menerusi lagu hitsnya, Aduh Saliha.
“Masa Aduh Saliha, saya pun tak rancang juga belakang itu nak sebut apa, tapi tersebut ‘Hayya ‘alal falah’, dia keluar itu.
“Saya tengok waktu atas pentas itu apa yang keluar, maksudnya saya tak rancang benda itu. Saya tak nak cakap macam skrip,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemotongan markah yang dibuat barisan juri tetap, Mawi terbuka menerima perkara yang disifatkan sebagai hak mutlak penilai.
“Itu juri punya hak. Macam yang saya cakap, waktu buat persembahan, saya lebih suka bebas atas pentas.
“Masa waktu uji bakat pun, juri minta saya menyanyi lagu yang saya tak menyanyi dekat pentas sebelah. Apa yang terlintas, saya terus baca selawat.
“Sama juga, benda itu pun berlaku pada malam ini,” katanya lagi.
Semalam, Mawi menyampaikan lagu intifada dengan genre rock dan disulami dengan selawat.
Nyanyiannya tersebut menyaksikan Mawi berada di kedudukan keenam daripada 13 peserta dengan markah sebanyak 58.54 peratus.
Sumber – KOSMO! ONLINE





