SHAH ALAM – Pihak yang didakwa menghina pemuda yang terpalit dalam insiden kekecohan penangkapan anjing liar, Muhammad Shah Hizam, 24, digesa membuat permohonan maaf secara langsung kepada individu terbabit.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan maaf itu perlu ditujukan kepada Muhammad Shah kerana dia merupakan individu yang terkesan dengan dakwaan atau kenyataan yang dibuat terhadapnya.
Menurutnya, status sebagai pempengaruh, selebriti, artis atau netizen bukan lesen untuk menyebarkan dakwaan tanpa usul periksa.
“Kita juga tahu ada beberapa pihak telah memohon maaf, tetapi pada masa sama saya rasa perlu memohon maaf secara langsung kepada Shah. Bukan kerana kita glamour, kita popular atau mahu memohon maaf kepada orang yang mengikuti kita. Tidak. Kita kena mohon maaf kepada orang yang telah dihina.
“Kalau anda ada 500,000 pengikut sekalipun, mereka tidak memerlukan permohonan maaf anda. Seorang ini yang memerlukan permohonan maaf anda,” katanya pada sidang akhbar #Justiceforshah di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang mengenal pasti serta mendokumentasikan semua penerbitan, perkongsian semula, komen dan kandungan yang didakwa berunsur penghinaan, fitnah serta ancaman terhadap anak guamnya dan keluarga.
“Antara penerbitan yang sangat mengecewakan kita ialah tulisan dan video yang meminta supaya Shah dihukum mati. Ada juga ancaman terhadap tubuh badan beliau dan ahli keluarganya.
“Ini seorang pemuda berusia 24 tahun. Dia mempunyai masa depan yang panjang, keluarga dan rakan-rakan. Hanya kerana beberapa saat video yang tular tanpa memahami latar belakang sebenar, ramai telah menghukum dia tanpa usul periksa.
“Penyebaran wajah dan identiti juga berlaku. Ada yang menyunting wajahnya dan meletakkannya pada badan anjing. Bayangkan kalau itu anak, suami, isteri atau rakan anda sendiri. Apa perasaan anda jika perkara itu berlaku?,” katanya.
Muhammad Rafique berkata, pihaknya tidak akan mengambil mudah perkara berkenaan dan mahu menghantar mesej jelas bahawa segala bentuk ancaman, penyebaran maklumat peribadi serta kandungan berkaitan anak guamnya sedang dipelihara sebagai bukti.
“Rakaman skrin, pautan, tarikh penerbitan, jumlah tontonan dan butiran berkaitan turut dikumpulkan, termasuk terhadap pihak yang menuduh anak guam kami membunuh atau menyeksa Rocky,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa Muhammad Shah memukul Rocky sehingga menyebabkan kematian haiwan tersebut.
“Dari mana datangnya dakwaan bahawa anak guam kami memukul Rocky sehingga Rocky mati? Di mana buktinya? Namun begitu mudah orang membuat penghakiman dan mengatakan Rocky mati kerana diseksa oleh Shah tanpa melihat keseluruhan kejadian,” katanya.
Sumber – KOSMO!ONLINE





