YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan telah hadir seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Program MADANI Kita bertempat di Padang Awam Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, hari ini.
Membawakan tema “Aktif Bersama Komuniti”, majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
YB Menteri turut menyampaikan cek cura bagi beberapa inisiatif antaranya Kampung Angkat MADANI (Kampung Bukit Kechil), Santuni MADANI (Kampung Batu Dua) dan Sekolah Angkat MADANI (SJK [T] Taman Keladi) serta Sijil Penarafan Perusahaan Sosial kepada peserta “Social Entreprenuership for Rural Youth (SERY)”.

Penganjuran Program MADANI Kita merupakan platform yang mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan secara langsung, perkongsian maklumat mengenai inisiatif kerajaan serta pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Program ini dilaksanakan dengan objektif seperti berikut:
- Mengenal pasti dan memahami isu-isu atau permasalahan setempat sekaligus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan;
- Memudahkan rakyat khususnya di kawasan luar bandar untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan; dan
- menjadi platform interaksi dan temu mesra antara pimpinan Kerajaan dengan komuniti setempat. Untuk maklumat lanjut berkaitan siaran media ini, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan di talian 03-8871 3100 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my
Antara pengisian utama program adalah melalui segmen “Touchpoint” kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, nasihat guaman, penukaran & penggantian MyKad/ Sijil Lahir, bayaran saman PDRM, sistem profil TVET, pembayaran cukai pintu, Jualan Rahmah, platform pencarian pekerjaan nasional dan sebagainya.

Perkhidmatan berkaitan pembangunan belia dan sukan turut ditawarkan menerusi segmen Pavilion KBS yang merangkumi khidmat konsultasi dana/ geran, promosi program dan aktiviti, Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan, Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, aktiviti Rakan Muda, promosi Sukan SEA Malaysia 2027 dan pelbagai inisiatif lain yang berkaitan. KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah turut menganjurkan acara larian “World Cup Fever Run” sebagai salah satu aktiviti penglibatan belia dan komuniti.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan lain secara percuma antaranya penukaran minyak enjin motosikal/ topi keledar/ Al-Quran, perkhidmatan gunting rambut dan pengagihan biji benih/ anak pokok dan jamuan MADANI bersama komuniti.

Program MADANI Kita ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan, di samping memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui pendekatan yang inklusif, responsif dan berimpak tinggi.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai program ini boleh diajukan kepada JBSN melalui talian 03-8871 3273 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.





