PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Anas Ridzuan mendedahkan realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh segelintir anak seni apabila terpaksa menunggu bayaran yang tertunggak selama bertahun-tahun.
Mendedahkan perkara itu menerusi temu bual di Serapodcast, Anas, 37 menyifatkan isu ‘culas’ membayar gaji ini bukan sahaja berlaku dalam industri seni, malah turut melibatkan sektor pekerjaan lain.
“Perkara ini (tunggakan bayaran) memang ada, tetapi ia berbalik kepada seni rundingan (art of dealing) kita bagaimana untuk mengejar bayaran tersebut.
“Ini bukan cerita berlakon sahaja, kadang-kadang tukang cuci pendingin hawa pun orang culas bayar. Bukan lapangan lakonan sahaja, penyanyi pun sama berdepan kelewatan bayaran. Tapi jangan jadikan ia satu budaya, habis kerja kena bayar,” katanya menerusi podcast berkenaan.
Berkongsi pengalaman peribadi, bekas peserta program Mentor musim keenam itu mendedahkan terdapat sebuah rancangan televisyen yang disertainya tiga hingga empat tahun lalu masih belum melunaskan bayaran sehingga ke hari ini.
“Ada satu rancangan yang saya masuk, sampai sekarang tak dapat bayaran lagi. Sudah tiga empat tahun. Perkara ini tak sepatutnya menjadi biasa.
“Bila hubungi orang tengah, jawapan dia ‘kami pun tak dapat apa-apa maklumat mengenainya’.
“Macam-macam hal, jadi anak seni kena sentiasa bersedia,” jelasnya lagi.
Tambah pelakon filem Memori ini, dia sebenarnya sudah sedia maklum mengenai reputasi syarikat terbabit yang sering lewat membuat bayaran sebelum bersetuju menyertai projek berkenaan.
Namun, dia mengambil pendekatan optimis dengan menganggap tunggakan tersebut sebagai simpanan masa hadapan.
“Saya masuk rancangan itu pun dalam keadaan sudah tahu mereka culas bayar, tapi saya fikir benda itu macam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF). Kalau cukup waktu, dia kena bayar.
“Baru-baru ini saya ada hantar mesej bertanya, tapi dia tak balas. Biasalah,” ulasnya.
Dalam pada itu, Anas turut menyentuh tindakan segelintir rakan industri yang terpaksa menggunakan media sosial sebagai platform untuk menuntut hak mereka.
Menurutnya, tindakan ‘menularkan’ isu bayaran tersebut selalunya merupakan jalan terakhir selepas usaha secara peribadi gagal membuahkan hasil.
“Kalau sudah mesej pun tak dapat, sebab itu ada yang luahkan di media sosial. Itu kira talian hayat terakhir. Bukan semua orang pandai atau mampu nak berurusan dengan peguam.
“Kerja macam kita ini memang kena hadap. Kena pandai (cari jalan) sebab kalau tak cari kerja, nanti tak makan pula,” katanya.
Sumber – UTUSAN





