Thursday, July 2, 2026
HomeHIBURANZain Saidin Belum Beri Izin Aaisyah Ceburi Lakonan, Nyanyian

Zain Saidin Belum Beri Izin Aaisyah Ceburi Lakonan, Nyanyian

HULU LANGAT: Pelakon, Zain Saidin, belum bersedia membenarkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana, menceburi bidang lakonan atau nyanyian selagi masih berada di bangku sekolah.

Menurut Zain, keutamaan ketika ini adalah memastikan Aaisyah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran sebelum memikirkan soal kerjaya dalam industri hiburan.

“Saya tidak mahu mengganggu waktu persekolahannya. Bukan saya kata tidak elok, tetapi pada pendapat saya, apabila kanak-kanak mula bekerja ketika masih bersekolah, banyak perkara yang boleh timbul.

“Mereka masih kecil dan belum cukup matang untuk mengendalikan pelbagai situasi. Sebab itu saya lebih selesa dia menghabiskan persekolahan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lokasi penggambaran drama bersiri Viu Originals, Cela, di DSH Villa, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Zain berkata, dia tidak menghalang Aaisyah daripada terbabit dalam penggambaran iklan atau aktiviti promosi yang hanya mengambil masa singkat.

“Kalau sekadar iklan atau endorsement, tiada masalah kerana ia boleh diselesaikan dalam dua atau tiga hari dan tidak mengganggu persekolahan.

“Berbeza dengan lakonan yang memerlukan komitmen sehingga satu atau dua bulan. Apabila sudah mula menerima tawaran dan bayaran, bimbang fokus akan berubah. Itu yang saya mahu elakkan,” katanya.

Pelakon berusia 41 tahun itu turut memaklumkan pendiriannya selari dengan isterinya, Rozita Che Wan, yang juga tidak mahu Aaisyah bergiat aktif dalam dunia seni buat masa ini.

“Saya mahu dia habiskan sekolah dahulu. Selepas berusia 18 tahun, kalau dia mahu berlakon atau membuat pilihan hidup sendiri, terpulanglah.

“Kalau mahu sambung belajar, teruskan. Apa sahaja pekerjaan yang dipilih nanti tidak menjadi masalah, asalkan dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan menjadi yang terbaik,” katanya.

Menurut Zain, Aaisyah pernah menerima beberapa tawaran, namun sebahagiannya terpaksa ditolak kerana faktor persekolahan.

Katanya, meskipun Aaisyah kelihatan petah di media sosial, anaknya itu sebenarnya seorang yang pemalu apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Sebelum ini, ketika menyertai program memasak bersama Che Ta, dia perlu dibawa ke lokasi penggambaran beberapa hari lebih awal sebelum benar-benar selesa di hadapan kamera.

“Saya percaya dia mempunyai potensi dalam lakonan atau nyanyian. Cuma, buat masa ini saya lebih melihat bidang lakonan sebagai pilihan yang lebih realistik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zain merupakan antara pelakon yang membintangi drama Cela arahan Feroz Kader terbitan Global Film Station Sdn. Bhd. yang dijadualkan menemui penonton bermula 20 Ogos depan. Drama itu turut dibintangi Nabila Huda, Hun Haqeem dan Zarif Ghazzi.

Sumber – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Orang Nampak Kuat Tapi Ada Dugaan Menyedihkan, Sangat Berat’ – Fazura

0
PETALING JAYA – Terlihat kuat pada pandangan umum, namun pelakon Fazura tidak mampu menahan air mata saat merakamkan single terbaharunya berjudul Kisah Terbaik lantaran...

CATEGORIES