PUTRAJAYA – Mahasiswa yang berdepan sebarang masalah kewangan sehingga menjejaskan keperluan harian termasuk makanan diminta agar tidak memendam masalah itu atau berasa segan mendapatkan bantuan.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, mana-mana pelajar yang berdepan situasi sedemikian disaran segera berhubung dengan pihak universiti masing-masing bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan.
Katanya, Dapur Siswa Madani yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan satu inisiatif bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.
“Saya berkesempatan bersama mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk merasmikan pelaksanaan Dapur Siswa Madani di universiti ini.
“Komitmen universiti dalam memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya sangat dihargai.
“Kepada seluruh mahasiswa di luar sana, sekiranya anda berdepan apa jua masalah, khususnya berkaitan kewangan sehingga menjejaskan keperluan harian termasuk makanan, jangan pendam atau berasa segan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zambry berkata, mana-mana mahasiswa yang berdepan masalah kewangan diseru berhubung dengan pihak universiti masing-masing.
Katanya, banyak saluran bantuan disediakan dan pihak universiti sentiasa bersedia membantu.
“Saya tidak mahu ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, berlapar atau mengorbankan keperluan asas semata-mata untuk meneruskan pengajian.
“Fokus utama anda adalah belajar, menimba ilmu dan membina masa depan. Soal kebajikan, kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu.
“Tiada mahasiswa yang seharusnya tercicir atau berdepan kesukaran bersendirian,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





