BUKAN tamak, kumpulan Wings sedia mengambil satu persatu tawaran persembahan dan konsert adalah atas permintaan ramai, sekali gus demi kelangsungan jenama band yang sudah memasuki empat dekad.
Vokalisnya, Datuk Awie berkata sebelum ini dia pernah meletakkan had untuk tampil di pentas, namun kemasukkan dua anggota baharu membakar semangat untuk mereka terus beraksi di pentas langsung.
“Setiap showcase dan konsert kami rancang dengan teliti, konsep, lagu serta semua perincian kerana enggan gagal. Dulu memang saya letak had, tapi dengan penyertaan Ilham (bes) dan Pae (dram), kami harap dapat bertahan 10 tahun lagi atau lebih pun, insya-Allah.
“Dengan kemasukan dua anggota baru saya rasa perjuangan Wings yang ini baru bermula. Jadi kita teruskan sahaja. Cita-cita besar perlu disertakan dengan tanggungjawab yang besar.
“Soal tamak pula, yang cakap begitu kalau mereka nak tanggung anak isteri kami sumpah kami okey, tak kecil hati. Kami semua ada isteri, anak-anak. Apa pun ini semua juga demi kelangsungan Wings,” katanya ketika ditemui pada sidang media Wings Sunday Night Live semalam.
Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 57, berkata demikian mengulas kekerapannya mengadakan konsert termasuk solo serta bersama kumpulannya di pentas besar.
Akuinya, perkara ini bukan hal besar memandangkan ketika era kemuncak dahulu mereka lebih banyak mengaut tawaran apabila mengadakan persembahan hampir setiap hari.
“Awal-awal dulu Wings pernah muncul di pentas sebanyak 24 kali dalam tempoh sebulan termasuk di funfair, bawa balik duit seguni. Sekarang kami pilih tenang, kita ambil apa yang kita mahu sahaja,” katanya.
Mengenai persembahan eksklusif di pusat hiburan terkemuka itu, kali terakhir Wings beraksi di premis tersebut adalah pada 2019 iaitu sebelum serangan Covid-19.
Kata Awie, kembali semula ke Hard Rock Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026 disusuli Hard Rock Cafe Melaka (12 Julai) bersempena pelancaran album baharu membawa 1001 makna.
“Memang sudah lama Wings tidak mengadakan persembahan di Hard Rock tempat yang sebelum ini menjadi antara lokasi istimewa kami bertemu dengan penyokong Wings.
“Sudah pasti setiap aksi kami berbeza dengan konsep yang berlainan malah untuk kemunculan di premis tersohor ini, pastinya suasana lebih dekat dan eksklusif.
“Dalam tempoh sejam setengah, kami turut perdengarkan beberapa lagu daripada dua album baharu Wings New Era dan diharap showcase mengangkat semula semangat persembahan secara langsung,” ujarnya.
Dianjurkan Awie Entertainment dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta mendapat sokongan Rumah Produksi Merah (RPM), caj RM189 bagi mengikuti Wings Sunday Night Live boleh ditempah di Hard Rock Cafe.
Sumber – Kosmo! Online





