Wednesday, May 13, 2026
HomeSUKANArgentina Mahu Hadiahkan Penamat Sempurna Buat Messi

Argentina Mahu Hadiahkan Penamat Sempurna Buat Messi

BUENOS AIRES – Pasukan Argentina tekad menghadiahkan penamat paling sempurna buat kapten, Lionel Messi dengan mempertahankan trofi Piala Dunia 2026 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 12 Jun depan.

Pemain pertahanan La Albiceleste, Nicolas Tagliafico mengakui rakan-rakan sepasukan akan terus berdiri teguh di belakang Messi sehingga pemain itu mengesahkan persaraan bersama skuad kebangsaan secara rasmi nanti.

“Kehadiran Messi memberi makna yang besar kerana dia kapten dan pemimpin pasukan kami. Saya rasa seluruh pasukan akan terus menyokongnya sehingga ke penghujung karier, seperti yang kami lakukan selama ini.

“Semua pemain sedia untuk terus bekerja bersama-sama seperti di Piala Dunia dalam misi mempertahankan gelaran dan menjadikannya satu lagi kejohanan yang akan bakal diingati peminat setia kami,” katanya.

Sebagai rekod, Messi yang membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 telah diletakkan dalam senarai 55 pemain yang perlu bersedia untuk menyarung jersi pasukan oleh ketua jurulatih, Lionel Scaloni kelmarin.

Berdasarkan senarai tersebut, Scaloni telah membuat keputusan mengejut apabila mensisihkan pemain AS Roma, Paulo Dybala apabila tidak berada dalam senarai selepas kali terakhir bersama kem kebangsaan pada 2024.

Selain Messi, antara nama yang berjaya mencuri perhatian dalam senarai kali ini adalah pemain muda Chelsea, Alejandro Garnacho serta tonggak kontroversi Benfica, Gianluca Prestianni.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Tak Kejar Gelaran Raja Rock Negara’ – Amy Search

0
KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search tidak pernah mengejar sebarang gelaran termasuk Raja Rock Negara selepas lebih lima dekad berkecimpung...

CATEGORIES