KUALA LUMPUR – Pelakon Zahirah Macwilson mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan soal batas fizikal yang kadangkala membuatkan mereka sewenang-wenangnya menyentuh anak orang lain sesuka hati.
Zahirah, 31, berpendapat, tiada sesiapa pun mempunyai hak mutlak untuk melakukan kontak fizikal terhadap kanak-kanak tanpa kebenaran, termasuklah dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
“Bagi saya, tidak kira siapa pun awak jangan sesekali letakkan tangan pada anak orang lain.
“Saya rasa sesiapa pun tidak mempunyai hak untuk menyentuh mana-mana kanak-kanak lain — sama ada awak adalah ahli keluarga sekalipun. Ada batas-batas tertentu.
“Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa memastikan kita peka terhadap semua ini. Jangan rasa takut untuk bersuara,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman peribadi, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu pernah menegur individu tidak dikenali yang cuba menyentuh anaknya di tempat awam.
Tindakan tersebut diambil atas dua faktor iaitu kebersihan dan kesedaran mengenai batas sentuhan yang perlu dipupuk sejak awal.
“Saya juga pernah tegur peminat atau orang yang mungkin tak kenal yang datang dan sentuh muka anak saya.
“Saya cuma katakan dengan sopan ‘tolong jangan sentuh’. Pertama adalah kerana kebersihan, kita tak tahu apa yang mereka sentuh.
“Kedua adalah kami tak mahu anak-anak saya fikir bahawa normal untuk orang boleh menyentuh tanpa kebenaran mereka,” ujarnya.
Tegasnya lagi, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberi sokongan agar anak-anak tidak berasa segan untuk meluahkan ketidakselesaan sebelum perkara tidak diingini berlaku.
“Kalau awak rasa macam tak kena atau tidak selesa sama ada pak cik atau jiran awak yang menyentuh awak, beritahu mereka.
“Cakap, jangan rasa segan kerana awak mahu lakukan sesuatu sebelum terlambat, ” tuturnya.
Untuk info, pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu berkahwin dengan Aiman pada 20 Februari 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Isaac Raees, 5, dan Inara Raisa yang kini berusia dua tahun.
Sumber – KOSMO! ONLINE





