Friday, October 10, 2025
HomeLUAR NEGARA'Terima Kasih Ya Allah, Dua Tahun Gaza Dalam Kegelapan'

‘Terima Kasih Ya Allah, Dua Tahun Gaza Dalam Kegelapan’

PETALING JAYA – Laungan Allahuakbar, alhamdulillah serta tangisan gembira memenuhi ruang udara Gaza malam tadi apabila rakyatnya menyambut berita bersejarah iaitu Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai untuk menghentikan pertempuran selain membebaskan tahanan Palestin.

Selepas dua tahun hidup dalam kegelapan perang, runtuhan dan kehilangan, penduduk Gaza menzahirkan rasa syukur atas peluang baharu untuk menghirup udara kedamaian.

Seorang wartawan Palestin, Lunar memuat naik beberapa video memaparkan gelagat penduduk Gaza dalam meraikan ‘kemerdekaan’ negaranya di TikTok hari ini.

Ada yang segera melakukan sujud syukur, menari, melompat serta menjerit sekuat-kuat hati bagi menunjukkan rasa lega mereka selepas menerima berita gembira tersebut.

“Terima kasih Ya Allah, akhirnya kami di bumi Gaza merdeka. Selama dua tahun kami hidup dengan ketakutan, hari ini kami mahu hidup kembali,” kata Lunar.

Sementara itu, dalam beberapa perkongsian berbeza, turut memperlihatkan ribuan orang ramai berkumpul membawa bendera Palestin yang selama ini mereka hanya bersembunyi di bawah runtuhan kini sudah mampu berlari di jalanan, ketawa serta bebas bergerak.

“Malam ini kami tidak dengar bom, hanya bunyi takbir dan tangisan gembira,” ucap salah seorang penduduk Gaza.

Pelan damai yang dimeterai dengan bantuan beberapa negara Arab dan pertubuhan antarabangsa itu menetapkan penghentian segera serangan, pembukaan laluan kemanusiaan serta pembebasan tahanan dari kedua-dua pihak.

Langkah itu turut dilihat sebagai permulaan kepada proses pemulihan Gaza iaitu wilayah yang kini musnah hampir sepenuhnya akibat perang sejak 7 Oktober 2023.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut memuji pelan damai ini sebagai ‘hari yang hebat’ untuk dunia Arab dan Islam, Israel serta semua negara sekitarnya termasuk AS.

Trump juga memaklumkan, Gaza akan dibina semula dengan bantuan negara-negara jiran yang kaya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Indonesia Larang Gimnas Israel Sertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia

0
JAKARTA – Persekutuan Gimnastik Indonesia menyatakan bahawa badan pentadbir antarabangsa sukan itu menyokong keputusan Indonesia menolak penyertaan atlet Israel untuk kejohanan gimnastik artistik dunia...

CATEGORIES