Saturday, May 30, 2026
HomeHIBURANIsteri Along Cham Diminta Henti Keluarkan Komen Prejudis

Isteri Along Cham Diminta Henti Keluarkan Komen Prejudis

SEPANG: Pihak pembelaan memohon pendakwaan menasihati saksi utama mereka, Afreena Suhaimi, supaya tidak mengeluarkan komen bersifat prejudis terhadap pelawak, Along Cham.

Peguam Zaleha Al-Hayat yang mewakili Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, membangkitkan isu itu di hadapan Majistret Khairatulmenda Animah Jelani dalam prosiding sebutan kes di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Zaleha berkata, pihaknya dimaklumkan isteri anak guamnya iaitu Afreena yang juga saksi pendakwaan, memuat naik kenyataan melalui akaun Instagram miliknya mendakwa Muhammad Nizamuddin adalah penagih dadah.

“Kenyataan Afreena mendakwa tertuduh penagih dadah bersifat prejudis, melabel dan menghukum tertuduh sebagai seorang yang bersalah.

“Tertuduh belum didapati bersalah di peringkat ini dan kes ini belum dibicara.

“Walaupun kenyataan ini tidak mempengaruhi mahkamah dalam membuat keputusan kes tertuduh, kami berhujah perkara ini melanggar hak tertuduh mendapat perbicaraan yang adil di bawah Perlembagaan Persekutuan, tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Katanya, pihak pembelaan tidak berniat menyekat kebebasan bersuara Afreena tetapi perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana beliau adalah saksi pendakwaan dan kes masih berjalan.

“Kami memohon pihak pendakwaan dapat menasihati saksi (Afreena) supaya tidak mengeluarkan kenyataan menuduh dan bersifat prejudis pada masa depan,” katanya sambil menunjukkan lampiran beberapa berita hiburan yang melaporkan kenyataan Afreena

Khairatul Animah merekodkan permohonan pembelaan manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Luvithaa Veerasamy, mengambil maklum isu dibangkitkan

Majistret turut menetapkan 25 September untuk keputusan representasi dikemukakan Muhammad Nizamuddin.

Pada 7 April lalu, Muhammad Nizamuddin mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan berkaitan dadah dihadapinya.

Dalam pertuduhan pertama, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang 14 Disember 2024 dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tamak? Kami Tak Kecil Hati, Ini Demi Kelangsungan’ – Awie

0
BUKAN tamak, kumpulan Wings sedia mengambil satu persatu tawaran persembahan dan konsert adalah atas permintaan ramai, sekali gus demi kelangsungan jenama band yang sudah...

CATEGORIES