Monday, May 25, 2026
HomeBERITAPeguam Ibu Zara Qairina Rayu Tangguh Pendakwaan Esok, Tuntut Hukuman Lebih Berat

Peguam Ibu Zara Qairina Rayu Tangguh Pendakwaan Esok, Tuntut Hukuman Lebih Berat

KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara waktu supaya dapat dipertimbangkan semula untuk mendakwa lima remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan media bersama, pasukan peguam itu memaklumkan bahawa mereka baru mengetahui lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.

“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,” katanya pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya merayu supaya kesemua remaja terbabit didakwa atas kesalahan lebih berat sekiranya keterangan sedia ada serta hasil siasatan lanjut mencukupi bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, pasukan berkenaan memaklumkan bahawa mereka telah menghantar surat kepada Peguam Negara pada pagi Selasa melalui e-mel berhubung perkara tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Sumber – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Rakyat Malaysia Terkorban Dalam Tragedi Bangunan Runtuh Di Filipina

0
MANILA – Seorang rakyat Malaysia terkorban dalam satu kejadian runtuhan sebuah hotel setelah sebuah bangunan berdekatan dengannya yang sedang dalam pembinaan runtuh. Kejadian berlaku di...

CATEGORIES