Kuala Lumpur: Pelaksanaan tarif baharu dikenakan Amerika Syarikat ( AS) boleh menggalakkan diversifikasi pembekal, inovasi produk, automasi serta sokongan kerajaan.
Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid, berpendapat kenaikan tarif ini memberi peluang kepada industri perdagangan negara mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran AS.
Peluang ini juga depart digunakan utuk pengeluar dan pemain industri meneroka pasaran baharu lebih menguntungkan, terutamanya di Asia, Eropah dan Afrika.
“Dengan mencari alternatif pasaran lebih besar atau berkembang, negara berpeluang mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain.
“Pelaksanaan ini membantu meningkat perdagangan serantau sebagai anggota ASEAN dengan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani global,” katanya.
Kenaikan tarif memberi peluang pembangunan kapasiti dalam negara.
Katanya, kenaikan tarif membuka peluang terhadap pembangunan kapasiti dalam negara dengan memanfaatkan sumber alam sedia ada bahkan menghasilkan bahan mentah domestik.
“Peningkatkan pengeluaran bahan mentah dalam negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import, sekaligus mengurangkan kesan tarif dari luar negara.
“Usaha memantapkan sektor pertanian dan sumber alam dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.
Ujarnya, kenaikan tarif AS boleh menjadikan negara sebagai destinasi menarik bagi pelabur asing mencari alternatif kepada pasaran AS.
“Pelabur boleh memilih untuk melabur di sini terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, memanfaatkan kos lebih rendah dan akses kepada pasaran serantau ASEAN.
“Syarikat multinasional sebelum ini tertumpu kepada pasaran AS beralih kepada domestik sebagai hab pengeluaran atau pembekalan memenuhi permintaan pasaran lain,” katanya lagi.
Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan siri tarif baharu yang memberi impak kepada banyak negara termasuk Malaysia pada kadar 24 peratus.
Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif asas minimum 10 peratus terhadap semua import dengan kadar lebih tinggi disasarkan kepada rakan dagang tertentu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke Amerika





