Kuala Lumpur: Pihak Awesome TV memaklumkan satu tindakan undang-undang sudah difailkan hari ini terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah disebarkan melalui laman media sosial.
Tindakan itu diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Mohamad Amirullah Azmi (Amir Raja Lawak), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).
Mereka menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi pembabitan mereka dalam program televisyen yang disiarkan di stesen terbabit.
“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu terbabit sudah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” demikian menurut kenyataan rasmi syarikat terbabit.
Awesome TV juga terkejut isu itu turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti.
Sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pihak Awesome TV.
“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar. Justeru itu, pihak Awesome TV sudah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.
“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV,” tambah kenyataan itu.
Stesen TV itu komited menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat dan akan terus mempertahankan hak serta reputasinya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
Sumber – Harian Metro





