Friday, May 1, 2026
HomeBERITA209,853 Kenderaan Singapura Aktifkan RFID, Kuat Kuasa VEP Mulai Hari Ini

209,853 Kenderaan Singapura Aktifkan RFID, Kuat Kuasa VEP Mulai Hari Ini

JOHOR BAHRU: Sebanyak 209,853 kenderaan nombor pendaftaran Singapura telah memasang dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) setakat 29 Jun lalu berikutan penguatkuasaan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, statistik itu menunjukkan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan asing khususnya dari Singapura.

“Kita alu-alukan rakyat Singapura untuk masuk ke Malaysia, sebab daripada lebih 280,000 pendaftaran, lebih 200,000 telah aktif.

“Ini menunjukkan mereka patuh kepada peraturan Malaysia. Cuma tinggal segelintir sahaja yang belum patuh dan kita akan pastikan mereka turut mematuhi.

“Untuk permulaan ini memang tiap-tiap hari kita akan buat (penguatkuasaan) dan kita bukannya tertumpu di satu-satu tempat sahaja. Cuma untuk permulaan minggu ini kita akan fokuskan di negeri Johor terlebih dahulu. Selepas itu baru kita akan pergi ke negeri-negeri lain yang menjadi lokasi tumpuan tumpuan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar semasa mengetuai operasi VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini tengah malam tadi.

Menurut Aedy Fadly, mana-mana kenderaan berpendaftaran Singapura yang dikesan tidak memasang atau mengaktifkan RFID mereka akan dikenakan saman bernilai RM300 serta merta.

Katanya penguatkuasaan itu adalah mengikut Seksyen 66H(7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang menjadikan kesalahan bagi mana-mana kenderaan motor asing memasuki atau berada dalam Malaysia tanpa permit sah.

“Semasa kenderaan itu memasuki Malaysia di CIQ kita boleh kesan mereka tidak mempunyai VEP, namun penguatkuasaan tidak dibuat di lokasi tersebut bagi mengelak kesesakan aliran trafik.

“Bagaimanapun mereka akan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara ini sekiranya saman tersebut tidak dibayar dan VEP tidak diaktifkan.

“JPJ turut menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan untuk membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan saman serta-merta dan mengaktifkan VEP sebelum meninggalkan negara ini. Contohnya, kita sediakan kemudahan di Danga Bay dan pejabat TCCN Danga Bay. Pemilik boleh aktifkan VEP sebelum keluar dari Malaysia.

“Bayaran saman juga boleh dibuat melalui kaunter JPJ, kaunter bergerak, pusat VEP Danga Bay atau secara dalam talian menerusi portal MyEG,” katanya.

Mengulas lanjut Aedy Fadly berkata tiada lagi pengecualian diberikan kepada pemilik kenderaan yang memberi alasan belum sempat mendaftar VEP.

Katanya pejabat pendaftaran VEP di Danga Bay kini beroperasi 24 jam sehari, termasuk lokasi lain seperti Woodlands.

“VEP ini dah diwujudkan sejak tujuh tahun lalu. Kita dah bagi masa yang cukup panjang, jadi mulai malam ini, masuk tanpa daftar atau aktifkan VEP akan terus disaman.

“Kita juga mobilisasi seramai 55 anggota JPJ malam ini di Johor. Selepas fasa pertama ini, kita akan perluas penguatkuasaan ke negeri-negeri lain yang menjadi tumpuan kenderaan asing,” katanya.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Biar Mereka Yang Berbakat’ – Amira Othman Bersara Berlakon

0
KUALA LUMPUR – Atas alasan mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian dan keluarga, penyanyi Amira Othman membuat pengumuman mahu berundur daripada arena lakonan. Begitupun Amira atau...

CATEGORIES