Alhamdulillah, Malaysia berbangga menjadi pemacu utama di sebalik lahirnya Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, yang ditandatangani oleh sahabat-sahabat pimpinan ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.
Dalam ucapan, saya tegaskan bahawa deklarasi ini adalah lambang tekad bersama untuk memacu integrasi serantau, menjunjung kemakmuran yang adil dan membina masa depan ASEAN yang lebih bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.


Menerusi deklarasi ini, ASEAN berikrar untuk tidak hanya menyesuaikan diri tetapi turut menerajui perubahan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital serta ekonomi hijau dan biru.
Saya turut gariskan keperluan membina pertumbuhan mampan dengan memperkasa potensi insan, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup seluruh warga rantau ini.
Deklarasi Kuala Lumpur mencerminkan iltizam Malaysia dan negara anggota ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai tiang seri kestabilan, tatkala dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.

Namun dalam kita menggapai langit menerusi inovasi dan teknologi baharu, saya tegaskan bahawa usaha ini mesti diurus secara berhemah agar kemajuan tidak mengorbankan keadilan dan kesejahteraan sosial.
Wawasan ASEAN 2045 ialah ikrar kepada generasi akan datang bahawa masa depan rantau ini harus dibina atas asas kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
Semoga ikhtiar ini menjulang ASEAN ke mercu tertinggi dan menjadi sumber kebanggaan kepada seluruh rakyat di rantau ini.





