KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA RARETV, menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Muscat, Oman.
Pemergian Allahyarham yang disahkan pada jam 6.58 petang waktu tempatan itu dikongsikan jurugambar terkenal, Saiful Nang menerusi aplikasi Threads.
Menerusi hantaran ringkas itu, Saiful Nang turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik.
“Arwah baik orangnya. 6.58 pm (selepas Maghrib di Muscat). Malam Jumaat,” katanya.
Difahamkan Allahyarham berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu terbitan TV AlHijrah.
Menerusi hantaran tersebut, Saiful Nang memberitahu, Kapten AA mengalami demam dan jangkitan paru-paru sebelum di bawa ke sebuah hospital di Nizwa dan kemudian dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal, Muscat, Oman.
Sumber – Berita Harian





