KUALA LUMPUR: Potensi perdagangan antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN dijangka melonjak 30 peratus kepada AS$180 bilion (RM757 bilion) menjelang 2026, berbanding AS$130.7 bilion (RM550.2 bilion) tahun lalu.
Presiden Majlis Tertinggi GCC yang juga Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah, berkata potensi itu berdasarkan peningkatan pelaburan di pasaran Asia, mencerminkan keyakinan bersama dan integrasi ekonomi yang semakin mendalam.
“Oleh itu, kami menekankan kepentingan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan teknikal.
“Kami menantikan hasil positif daripada rundingan yang sedang berlangsung bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak, yang akan merangsang peluang pelaburan dan menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di sini, hari ini.
Sheikh Sabah berkata, GCC turut menghargai kemajuan ASEAN dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dalam tenaga bersih, hidrogen hijau dan teknologi karbon rendah demi menyokong matlamat Perjanjian Paris.
Katanya, GCC juga melihat kepentingan membangunkan perkongsian strategik keselamatan makanan melalui pelaburan lestari dalam pertanian serta menggalakkan inovasi pengeluaran dan rantaian bekalan, khususnya dalam berdepan cabaran ketegangan geopolitik dan pasca pandemik COVID-19.
“Kami menyeru kerjasama dalam membina ekonomi digital inklusif yang seiring transformasi teknologi dan e-dagang, dengan mencadangkan pertukaran pengalaman dalam pembangunan infrastruktur digital,” katanya.
Sheikh Sabah berkata, dalam bidang kebudayaan dan kemanusiaan, GCC mencadangkan supaya 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Budaya antara GCC dan ASEAN, dengan penganjuran minggu kebudayaan, forum serta pameran seni.
“Kami mencadangkan sambutan Hari ASEAN di salah satu negara GCC dan Hari Budaya GCC di negara ASEAN, demi memenuhi aspirasi budaya bersama kita.
“Kami turut menyeru supaya inisiatif bersama dalam pemerkasaan belia dan wanita dimasukkan dalam pelan tindakan melalui program latihan, pembangunan kemahiran dan projek keusahawanan yang mencerminkan aspirasi generasi baharu di kedua-dua rantau,” katanya.
Sementara itu, Sheikh Sabah berkata, GCC dan ASEAN harus meneroka ufuk baharu yang selari dengan perkembangan global, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Beliau turut menegaskan, kerjasama antara dua rantau itu penting susulan kejayaan Sidang Kemuncak Riyadh yang pertama pada 20 Oktober 2023 serta menjadi permulaan berjaya dalam merangka kerangka usaha sama yang menyeluruh.
“Kita berhasrat untuk meneruskan momentum ini, berpandukan kepada Rangka Kerja Perkongsian Strategik ASEAN-GCC 2024-2028, yang berfungsi sebagai pelan hala tuju memperkukuhkan institusi kerjasama ini dan menjadikannya satu mekanisme praktikal untuk mencapai kemajuan yang ketara.
“Perkongsian ini penting kerana gabungan 16 negara ini mewakili kuasa ekonomi dan sumber manusia yang besar, dengan jumlah KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menghampiri AS$6 trilion (RM25.2 trilion),” katanya.





