Kuala Lumpur: Deklarasi Kuala Lumpur relevan dalam memastikan negara dan ASEAN bergerak ke arah masa depan berteknologi lebih selamat, inklusif dan mampan.
Dilancarkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke 46, deklarasi itu selaras dengan tema kepengerusian negara dalam memberi tumpuan terhadap transformasi digital menyeluruh.
Profesor Kehormat, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Dr. Hanafi Hussin berkata, komitmen negara terhadap tadbir urus pembangunan teknologi dan ekonomi inklusif.
Jelasnya, inisiatif diketengahkan membolehkan negara berada di landasan tepat memanfaatkan peluang ditawarkan era digital dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam ASEAN.
“Deklarasi ini menekankan komitmen kolektif ASEAN untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, inklusif, dan bertanggungjawab.
“Ia bertujuan menangani cabaran seperti penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian dan eksploitasi dalam talian semakin menjadi isu utama dalam era digital.
“Sebagai tuan rumah, negara memainkan peranan penting dalam memimpin usaha ini, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam tadbir urus digital serantau,” ujarnya ketika dihubungi.
Selain itu, katanya deklarasi diketengahkan itu juga memberi peluang kepada pembangunan ekonomi digital.
Padanya, deklarasi ini menetapkan arah strategik untuk meningkatkan kapasiti sektor ini dalam mempromosikan ekonomi kreatif di seluruh rantau ini.
“Deklarasi ini menyokong transformasi digital, membuka peluang pekerjaan dalam sektor teknologi malah meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global.
“Penyertaan dalam kerjasama serantau melalui kepimpinan membolehkan negara memperkukuh hubungan dengan negara ASEAN lain, mempromosikan perdagangan dan pelaburan, serta meningkatkan pengaruh diplomatik negara,” katanya.
Pada Mei 2025, menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam bidang maklumat mengeluarkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab.
Deklarasi ini menegaskan komitmen kolektif untuk membangunkan persekitaran digital yang selamat, inklusif, dan bertanggungjawab di rantau ini.
Deklarasi itu menekankan kepentingan dalam menangani cabaran seperti penyebaran maklumat palsu, dan eksploitasi dalam talian.





