Dakwa Curi Rahsia Perdagangan Tesla, Punca Warga Kanada Dihukum Penjara 10 Tahun

0
692
Foto: Berita Harian

WASHINGTON: Seorang warga Kanada di China mengaku bersalah di mahkamah persekutuan New York semalam atas tuduhan mencuri rahsia perdagangan pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV) Tesla dan bersubahat untuk menjualnya kepada ejen kerajaan yang menyamar, menurut Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan jabatan itu, Klaus Pflugbeil, 58, seorang pengendali perniagaan yang berpusat di China dan menjual teknologi yang digunakan dalam kenderaan elektrik, kini berdepan hukuman penjara selama 10 tahun.

Tertuduh dikatakan berkomplot dengan rakan niaganya, Yilong Shao, untuk menjual rahsia Tesla kepada seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang menyamar sebagai ahli perniagaan dari Long Island.

Setakat ini, peguam Pflugbeil dan wakil Tesla belum memberikan komen kepada permintaan Reuters untuk mengulas.

Shao, yang juga didakwa tetapi masih bebas, tidak dapat dihubungi untuk memberikan ulasan.

“Dengan pengakuan bersalahnya, Pflugbeil kini bertanggungjawab atas tindakan melanggar undang-undang yang menjejaskan keselamatan negara,” kata Penolong Peguam Negara AS, Matthew Olsen dalam satu kenyataan.

Pada Mac lalu, Pflugbeil, yang juga seorang warga Jerman, didakwa di New York.

Pendakwaraya menyatakan bahwa Pflugbeil dan Shao membina perniagaan bateri EV mereka berdasarkan rahsia perdagangan daripada sebuah ‘syarikat kenderaan elektrik terkemuka yang berpangkalan di AS’.

Walaupun pendakwaraya tidak menamakan syarikat tersebut, mereka menyatakan bahawa pihaknya memperoleh pengeluar talian pemasangan bateri yang berpangkalan di Kanada pada 2019, yang sepadan dengan perihalan pengambilalihan syarikat Kanada Hibar oleh Tesla.

Dalam kenyataan semalam, dinyatakan bahawa Pflugbeil dan Shao bekerja untuk syarikat Kanada tersebut sebelum Pflugbeil menyertai perniagaan Shao pada tahun 2020.

Menurut DOJ, perniagaan yang tidak dinamakan itu kini beroperasi di China, Kanada, Jerman, dan Brazil, dan menghasilkan peralatan pemasangan bateri yang serupa dengan yang dihasilkan oleh majikan terdahulu mereka.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here