SEOUL: Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dipecat sebagai pengendali Ulsan HD selepas persembahan mengecewakan yang gagal memenuhi jangkaan kelab terbabit.
Menurut laporan oleh Sports Seoul, keputusan itu dibuat selepas prestasi hambar Ulsan dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Piala Dunia Kelab FIFA 2025, di mana pasukan itu gagal mencapai sasaran tinggi yang ditetapkan oleh pihak kelab.
Pan-Gon yang kembali ke Korea Selatan selepas tempoh yang mengagumkan bersama Harimau Malaya, dilantik dengan harapan yang tinggi namun akhirnya gagal memberikan keputusan yang diharapkan oleh pengurusan dan penyokong Ulsan.
Dalam langkah pantas untuk menstabilkan keadaan, Ulsan HD kini dilaporkan sedang bersedia untuk melantik bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong sebagai pengganti Pan-gon.
Tae-yong, yang dikenali dengan kepelbagaian taktikal dan keupayaan membangunkan bakat muda dijangka akan menyuntik tenaga baharu dan hala tuju yang segar kepada pasukan.
Sumber – AGENSI