BILBAO: Real Madrid menamatkan kemarau kemenangan mereka dalam LaLiga selepas Kylian Mbappe mempamerkan persembahan gemilang dengan dua jaringan untuk membawa pasukannya menewaskan Athletic Bilbao 3-0 awal pagi tadi.
Mbappe membuka jaringan pada minit ketujuh hasil gerakan solo dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan cantik ke penjuru atas gawang.
Eduardo Camavinga menambah jaringan di babak pertama selepas menanduk hantaran lintang Trent Alexander-Arnold. Gol ketiga Madrid disempurnakan Mbappe pada minit ke-59.
Kemenangan itu mengekalkan Real Madrid di tangga kedua dengan 36 mata daripada 15 perlawanan, satu mata di belakang pendahulu Barcelona, sekali gus menamatkan siri tiga perlawanan tanpa kemenangan mereka dalam liga.
Pengendali Real, Xabi Alonso, menyifatkan kemenangan itu sebagai penting untuk memulihkan momentum pasukan.
“Ia perlawanan penting kerana kami mahu menamatkan badi negatif. Pasukan bersedia dan bermain dengan tenang, ia perlawanan paling lengkap kami setakat ini di stadium yang mencabar. Sekarang kami perlu teruskan usaha,” katanya.
Real memulakan permainan dengan cemerlang, namun penjaga gol Bilbao, Unai Simon, beberapa kali menafikan peluang awal daripada Mbappe dan Vinicius Jr.
Athletic cuba membalas pada minit ke-24 melalui Gorka Guruzeta dan Alex Berenguer, tetapi Thibaut Courtois menunjukkan kebolehan cemerlang untuk menafikan peluang berkenaan.
Separuh masa kedua menyaksikan Madrid mengekalkan kawalan permainan sambil Mbappe terus menjadi ancaman utama.
Gol keduanya membuktikan ketajaman pemain Perancis itu musim ini, dengan 16 jaringan dalam 15 perlawanan LaLiga, dua kali ganda mengatasi Robert Lewandowski yang berada di tangga kedua penjaring liga.
Kemenangan meyakinkan ini memberi momentum yang diperlukan Real sebelum pertemuan menentang Celta Vigo pada hujung minggu dan aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Santiago Bernabeu minggu depan.
Sumber – REUTERS





