Wednesday, April 22, 2026
HomeSUKANMarcus Rashford Tiba di Barcelona, Sanggup Potong Gaji

Marcus Rashford Tiba di Barcelona, Sanggup Potong Gaji

BARCELONA, Sepanyol: Marcus Rashford sanggup menerima potongan gaji sebanyak 15 peratus bagi merealisasikan perpindahan secara pinjaman ke Barcelona.

Juara La Liga itu menjadikan Rashford, yang kini tersisih di Manchester United, sebagai sasaran utama musim panas ini, walaupun sebelum ini dikaitkan dengan Luis Diaz dari Liverpool dan Nico Williams dari Athletic Bilbao.

Bintang England itu dilihat tiba di Barcelona awal pagi tadi, ketika rundingan mencapai kata sepakat berikutan kesanggupan Rashford untuk mengurangkan gajinya daripada £315,000 (RM1.79 juta) seminggu.

Namun berikutan isu kewangan kronik yang masih membelenggu kelab Catalan itu, Rashford mungkin perlu menunggu hingga selepas jelajah pramusim Barcelona ke Asia, yang bermula minggu ini sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai pemain mereka.

Barcelona sebelum ini menghadapi masalah pendaftaran pemain, termasuk kes Dani Olmo musim lalu yang terpaksa menunggu tiga perlawanan sebelum mendapat lampu hijau daripada La Liga.

Rashford hampir menyertai Barcelona pada Januari lalu, tetapi perpindahan itu tergantung selepas kelab gagal menjual Ansu Fati, yang akhirnya berpindah ke AS Monaco.

Kini perpindahan Rashford berstatus pinjaman tanpa klausa pembelian wajib dan pemain itu secara terbuka menyatakan keinginan untuk bergandingan dengan Lamine Yamal, bintang muda sensasi Sepanyol.

Rashford tiba awal pagi tadi dan dijadualkan menjalani pemeriksaan perubatan hari ini, sebelum menjalani sesi latihan pertamanya bersama rakan sepasukan baharu esok.

Kehadirannya turut dirakam oleh peminat Barcelona, yang menyambutnya ketika dia menaiki kereta menuju ke kediamannya di bandar itu.

Menurut laporan media Sepanyol, Rashford akan ditawarkan dua nombor jersi dengan nombor 14, 19 dan 22 kini tersedia dalam skuad utama (1 hingga 25).

Nombor 14 memiliki nilai sentimental tinggi di Barcelona, pernah dipakai oleh pemain legenda Johan Cruyff dan Thierry Henry, yang dikatakan menjadi idola Rashford ketika kecil.

Nombor 19 pula baru sahaja dikosongkan oleh Yamal, yang kini memakai jersi bernombor 10.

Sebelum ini ia pernah menjadi milik Lionel Messi pada awal kariernya.

Sementara itu jersi nombor 10 yang dipakai Rashford di United kini diambil oleh pemain baharu Matheus Cunha, yang menyertai kelab dari Wolves dengan harga £62.5 juta (RM355 juta).

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sekatan Pelabuhan Iran: AS Arah 28 Kapal Berpatah Balik

0
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan 28 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan sejak permulaan sekatan ke atas kapal yang memasuki...

CATEGORIES