KUALA LUMPUR: Pemain berusia 17 tahun, Jaume Dura menyumbat gol kemenangan buat Valencia Mestalla sekali gus menyaksikan kekalahan pertama buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jelajah pramusim mereka di Sepanyol.
Dura meledak gol tunggal perlawanan skuad simpanan Valencia itu pada minit ke-35 pada aksi di Estadio Olimpico Camilo Cano di La Nucia, awal pagi tadi.
Keputusan itu meleburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan dalam empat perlawanan pramusim yang diharungi mereka setakat ini.
Terdahulu, mereka membuka kempen pramusim dengan langkah kanan selepas membelasah Real Murcia Imperial 4-0 disusuli menang 1-0 ke atas kelab yang berpangkalan di Elche, Costa City.
Skuad kendalian Xisco Munoz bagaimanapun seri 2-2 dengan pasukan Liga Satu Inggeris, Cardiff City sebelum mengikat pendatang baharu La Liga, Levante UD 0-0.
Aksi menentang Valencia Mestalla menjadi pertembungan terakhir mereka berdepan kelab Eropah.
Selepas ini, mereka akan berdepan tiga pasukan dari Timur Tengah – dua dari Qatar, Al Rayyan SC (16 Julai) dan Al Arabi SC (19 Julai) selain Riyadh SC (21 Julai).





