Kuala Lumpur, 26 Ogos 2025 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini melancarkan ‘Family Care Trust’, satu produk eksklusif dan pertama seumpamanya di pasaran tempatan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha AmanahRaya untuk memperluas perkhidmatan, selaras dengan kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan Perancangan Pewarisan utama di Malaysia.
‘Family Care Trust’ menggabungkan produk Amanah ‘Safecare’, Amanah Hartanah dan Amanah Kebajikan di dalam satu pakej di samping perkhidmatan Wasiat dan Hibah. Ia direka khusus untuk pelanggan bagi memastikan pengurusan dan pengagihan harta pusaka mereka kelak dapat dijalankan dengan lebih lancar, sambil memelihara legasi merentasi generasi.

Ahmad Feizal Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Kumpulan, Amanah Raya Berhad berkata, ‘Pelancaran ‘Family Care Trust’ membuktikan komitmen AmanahRaya untuk sentiasa menambah baik produk dan perkhidmatan kami agar bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Kami yakin ‘Family Care Trust’ dapat memperkukuhkan produk pewarisan sedia ada bagi membantu keluarga di Malaysia.”
Tambah beliau, setakat 31 Julai 2025, dianggarkan sebanyak 1.2 juta Wasiat telah didaftarkan di AmanahRaya, 350,000 kes Pusaka dan 200,000 fail Amanah dengan nilai 22 bilion ringgit telah diuruskan. Adalah diharapkan menerusi ‘Family Care Trust’, lebih ramai masyarakat di Malaysia akan memulakan Perancangan Pewarisan tanpa berlengah lagi, kerana produk ini menawarkan produk Amanah dengan nilai tambah yang komprehensif dan menarik.”

Pelancaran ‘Family Care Trust’ yang diadakan bersekali dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini, turut diserikan dengan kehadiran rakan strategik, ‘stakeholder’ dan pelanggan utama AmanahRaya.





